Selasa, 25 Mei 2010

gamitan nostalgia

Baru-baru ini,hujan lebat yang turun sekian petang telah menyebabkan parit suak di belakang rumah dilimpahi oleh air. Pagi itu, Mama ku yang mengambil lemiding di tepi terusan yang melalui sawah padi ternampak kelibat spesis ini. Tanpa bertangguh dia kembali dengan joran yang dipinjam dari jiran sebelah. Dengan berumpankan cebisan udang kertas, satu persatu spesis ini di daratkannya. Darah pengail yang sekian lama mengalir dalam urat sarafnya, kini rancak mengelegak seiring dengan setiap sentapan yang dilakukan. Matahari yang mula meninggi, menyebabkannya berhenti.Petang itu aku bergegas ke rumah di kampung untuk sama-sama menikmati saat nostalgia itu. Selepas hujan lebat berhenti, kami adik-beradik melabuhkan joran dan berjaya mendaratkan karuk satu-persatu. Petang itu saja, lebih 30 ekor karuk berjaya ditangkap. Namun semuanya dilepaskan kembali kerana saiznya yang agak kecil.
Karuk @ Puyu

Spesis ini pernah menjadi hiburanku semasa kecil. Spesis ini juga yang memberikan aku pengalaman bersama makhluk akuatik. Dengan berjorankan sum-sum sepanjang 7 hingga 8 kaki, bertangsikan fisherman 8 lb dan matakail saiz 4 atau 6, aku sering mengikut sifuku ( Mamaku ) meneroka paya, lopak dan suak yang terdapat di persekitaran. Antara lokasi yang pernah aku kunjungi termasuklah Penapak, Parit Si Bagul, Regesen, Gentua dan yang paling popular adalah Durian Kuning. Tiada jalan mudah untuk ke lokasi ini selain berjalan kaki.
parit yang digenangi air menjadi kawasan permainan karuk

Sewaktu itu, emakku masih lagi gagah dan tega berjalan kaki, aktiviti mengail karuk biasanya disertai oleh rakan-rakannya seperti Tangah Dumil, Tangah Banun, Mama si Campa, Arwah bini Hj. Pani, bini hj Parali, bini Hj Chali dan lain-lain. Sambil menjinjit joran dan belatak(bakul anyam), aku yang setia membuntutinya sering tertinggal di belakang kerana merasa terhibur dengan suasana alam semulajadi di awal pagi.Suasana yang sejuk,berkabus dan nyaman serta rumput yang masih basah dek embun semalam masih segar dalam ingatan.sesekali, kumpulan burung Punai melintas atas kepala menuju lubuk rezeki mereka.Perjalanan dihiburkan dengan kicauan burung dan sesekali kuakkan kerbau.Tambahan lagi, lastik dan batu menjadi senjataku. Perjalanan pulang pula biasanya akan menjadi sedikit lambat untuk mengutip sayur pucuk paku atau lunggah,lemiding dan pucuk ubi yang banyak terdapat di sepanjang perjalanan. Ianya sudah pasti akan menjadi sebahagian juadah tengahari.
generasi yang tidak sempat merasai pengalaman mengail karuk dalam trip yang jauh

Bekalan minuman yang pastinya kopi pekat dan sedikit kuih muih menjadi alas perut untuk sessi pancingan karuk yang biasanya akan berakhir sebelum tengahari. Kebiasaannya, lokasi seperti Durian Kuning memberikan hasil tangkapan yang amat lumayan.Karuk, Keli dan Jalak memenuhi belatak malah ada yang terpaksa dikendong dalam kain sarung Mama ku. Oleh itu, sessi akan berakhir awal kerana tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu mengkehendakinya berada di rumah sebelum tengahari untuk menyiang karuk dan menyediakan makanan tengahari untuk keluarga. Saat menghadapi juadah yang terdiri dari karuk dimasak pipisan, lunggah rabus piasau campur ikan masin dan nasi dari beras kampung atau padi 6 bulan yang berasap menjadi kenangan yang amat berharga. Kini, Mamaku sudah semakin tua dan tidak sekuat dulu untuk berjalan jauh mengail karuk.Hujan yang amat rahmat itu telah menghantarkan sekumpulan karuk berhampiran rumah untuk menjadi hiburannya. Syukur Alhamdulillah. Malangnya, generasi kini ramai yang tidak berminat dengan pancingan karuk. Malahan rata-rata tidak pandai makan apatah lagi memasak spesis ini. Biarlah semua itu menjadi kenangan yang amat berharga antara aku dan mamaku.salam dari Lempayun.

4 ulasan:

  1. lain kali karuk atu buat umpan jaul baik banar tu.

    BalasPadam
  2. terimakasih bro.dulu zaman awal remaja,selain umpan sepat hidup dan anak tilapia hidup, aku kerap membottom di muara sungai berumpankan karuk.memang mujarab, ia tahan nyawa dan liar..banyak Ungah berjaya diperdayakannya.

    BalasPadam
  3. jd teringat jua zaman remaja dulu...zaman bercinta cintun...huhu ;)

    BalasPadam
  4. nakal ehh cerita mu ani ;)

    BalasPadam