Rabu, 9 Ogos 2017

NGUDANG KOTA KLIAS: A COME BACK

06/08/17(ahad): Setelah sekian lama tidak menyentuh joran-joran microlight pancingan udang galah, akhirnya beliau kembali ke sungai. Trip ini adalah satu 'come back' kepada adik yang terlalu lama berehat . Walaupun persediaan peralatannya agak kekurangan, sessi tetap dilangsungkan juga dengan penuh keterujaan. Nasib baiklah peralatanku sentiasa dalam keadaan siap sedia di dalam beg khas untuk pancingan udang.
Tekong yang belum tahu enjin bot bakal meragam nanti..hehehe..padan muka.
Kami tiba di tepian sungai padas sebelum jam 6 pagi. Kelihatan, paras air sungai jauh susut akibat ketiadaan hujan sejak sekian lama. Tujuan kami adalah untuk mendapatkan satu-satunya makanan kegemaran udang Klias iaitu cacing sungai. Cacing sungai ini akan sukar diperolehi jika permukaan tanah disinari oleh cahaya matahari yang menyebabkannya masuk jauh ke dalam tanah.
Udang pertama yang mengujakan setelah tempoh rehat yang agak lama.
Kelebihan cacing sungai Padas adalah, ianya tahan lebih lama berada di dasar sungai dan mampu menggoda Udang Klias dengan lebih berkesan. Lagipun, hampir kesemua pemancing udang Klias menggunakan umpan ini dan menyebabkannya telah terbiasa dengannya. Cerewet juga udang Klias ni ya.
Ipar(saat) yang amat bersemangat dalam menjayakan trip pancingan ini. The 'caruk'man ini walaupun agak berusia tetap cergas dan lincah ketika beraksi

Permukaan tanah yang agak keras menyukarkan kami untuk mendapatkannya. Hampir sejam masa diperlukan dalam mendapatkan bekalan umpan untuk pancingan seharian. Setelah itu, kami bergegas ke Kota Klias. Cuaca pun agak catnip dan berangin. Rasa tidak sabar untuk menurunkan joran dan merasai getuan udang. Apatah lagi salah seorang ahli trip yang sudah terlalu lama berehat.hehehe..
Enjin Tohatsu 8hp meragam apabila tiba-tiba mati dan tidak dapat dihidupkan semula. Kami terpaksa ke tebing sungai dan meminta bantuan dari rakan. Mujurlah Salleh@Pajul datang dan berjaya menghidupkan enjin ini dengan sentuhan magiknya..hehehe..terimakasih Pajul. Tuan telah menyelamatkan trip kami ini daripada berakhir seawal jam 9 pagi.

Air sungai sudah bergerak pasang apabila kami tiba di jeti bot milik Saiful. Tanpa membuang masa, segala peralatan dipunggah ke dalam bot. Bot sedarhana panjang dan lebar ini, ngam dan boleh menampung kami bertiga. Walaupun bot ini tidak besar sangat, namun ia agak stabil di atas permutan air sungai.
Gelama di hulu sungai yang membuktikan tahap kemasinan air sungai  agak tinggi memberi petunjuk kepada kami agar berpindah jauh ke hulu. Udang Galah tidak suka air masin bro..pedih mata..hehehe

Oleh kerana ketiadaan hujan yang agak lama, menghilir sungai adalah pilihan yang salah kerana tahap salaniti/kemasinan air sungai di hilir agak tinggi menyebabkan segala kaum kerabat udang dari cucu ke neneknya bergerak menghulu sungai. Oleh itu, kami juga wajar menghulu sungai untuk mengejar pergerakkan mereka.
Nanggalah Sado yang menceriakan pemancing ini khas untuk cewek kesayangan.

Memancing udang Klias ini amat mencabar kerana anda perlu mengambil tahu, mengagak dan mendapatkan maklumat tentang keberadaan udang. Sehari sebelum itu, aku mendapat maklumat berharga dari rakan pemancing yang turun sehari lebih awal. Beliau telah membekalkan aku maklumat berguna akan keberadaan udang. Untungnya, masa tidak banyak terbuang untuk mencari udang ke sana ke mari. Sebaiknya, dapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum turun beraksi.
Nanggalah Sado yang sentiasa diimpikan oleh para pengailnya. Isi bukan sedap pun..tetapi fight..perghhhhh...mantap!

Walaupun begitu, aku masih perlu mengagak keberadaan udang dengan merasa tahap kemasinan air dan suhunya. Oleh kerana air bergerak pasang agak laju, labuhan bot di poket-poket air yang lebih tenang membantu menstabilkan kedudukan bot dan memudahkan joran dilabuhkan. Lagipun, udang suka berehat di kawasan air tenang sebelum meneruskan perjalanan mereka ke hulu sungai.
Sanggup berjemur dan berpanas di bawah terik matahari semata-mata untuk mendapatkan udang bersaiz begini.

Getuan dan tenaga udang ketika bergelut utuk melepaskan diri amat mengujakan setiap peminat pancingan udang.  Tendangan gostan menguji kemahiran pemancing menggunakan ‘absorber’ untuk menyerap hentakannya. Saat ini menimbulkan nikmat pancingan yang tidak terhingga apatah lagi apabila terlalu lama tidak merasainya.
udang 'last fight' yang diperolehi ketika berteduh dan berkemas sebelum berangkat pulang.

Kami terpaksa rajin bergerak menghulu sungai mengikut pergerakan arus dan berlabuh di poket-poket air. Apabila udang kurang galak, kami berpindah lagi lebih jauh ke hulu. Sedar tidak sedar, pergerakkan arus mulai mati lebih kurang jam 1 lebih tengahari. Tidak sampai setengah jam, air kembali turun dengan pergerakkan lebih laju berbanding ketika ia naik pasang.
HASIL KAMI BERTIGA
HASIL YANG AGAK MEMUASKAN KETIKA KEADAAN AIR SUNGAI PASANG BESAR (2.0 meter)

Pergerakan air yang deras superit sungai berjeram ini menyebabkan kami menamatkan trip ngudang ini kira-kira jam 2 petang. Walaupun trip ini tamat terlalu awal, namun kami masih gembira dengan hasil tangkapan masing-masing yang cukup untuk hidangan keluarga. Apa yang penting, nikmat dan suasana pancingan udang dan alam sekitar itu sendiri adalah ramuan terbaik untuk minda dan fizikal yang sihat. Bah, mari laa ngudang!
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan