Selasa, 7 April 2015

TRIP MEMANCING DI KUALA PENYU Pt 2

Sessi menyotong diteruskan dengan rancaknya apabila sotong datang berbondong-bondong menyerbu kapal pancing.  Walaupun bulan agak besar dan terang ketika itu, ianya tidak menghalang kumpulan sotong berenang di sekeliling kapal. Memang sudah musimnya bro. Seekor demi seekor sotong mula memenuhi peti ais masing-masing di samping sesekali joran bottom yang diaktifkan melendut secara tiba-tiba ditekan oleh pemangsa
Kemana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Anak Cikgu Junaili, Mohd Nooriqhwan Bin Junaili @ Wan, pemancing paling muda dan berbakat dalam trip ini. Boleh tahan kental fizikal dan mental remaja ini. Cuma agak pendiam dan pemalu. Jangan segan bertanya berkenaan ilmu memancing di kalangan otai-otai di dalam kapal tu ya. 
Ketika jarum jam melebihi angka 12 tengah malam, keaktifan ikan di dasar semakin berkurang. Hanya spesis Titir atau Alu-Alu yang masih belum menunjukkan tanda-tanda kehadiran semakin berkurang. Kepada pemancing tegar, ikan Titir juga adalah spesis ikan yang sedap jika dimasak goreng basah atau bersalut tepung. Isi yang lembut dan manis menyebabkan ia amat digemari ramai. Menu Titir goreng ini adalah hidangan favourite team Killar Anglers dan menjadi masakan tetap Chef Mian dalam setiap trip memancing.
Antara spesis berkualiti yang berjaya didaratkannya. Jelasnya, cikgu Junaili telah mempunyai regu yang boleh diharap untuk memenuhkan tong ais..ehemm..rasanya dalam trip akan datang cikgu Junaili perlu tukar tong coleman kepada tong sinaran 150 liter ya.
Namun begitu, spesis ini juga tidak disukai oleh ramai pemancing kerana ia boleh melingkupkan harta pemancing apabila mencuri batu ladung dan matakail dengan menggunakan giginya yang super tajam. Tapi bro, kalau dah tegar, jangan peduli. Guna perambut dawai atau teruskan dengan perambut mono. Jangan risau, ada banyak lagi matakail jual di kedai. Tatap layan bro!..hehehe
Kerisi Bali/Ibu Kerisi pada kedalaman 51 meter apabila kena dengan set ringan..pergghhh..memang karan giler bro! Biasanya spesis ini mendiami laut berkedalaman melebihi 70 meter ke atas. Ianya akan pancit selepas 40 hingga 50 meter sebelum sampai ke permukaan. Bayangkan kudratnya pada kedalaman begini..rasa dulu baru tau nikmatnya..
Hari Kedua(sabtu)
Kira-kira pukul 4:30 am, aku bangkit dari tidur yang kurang selesa dengan bau diesel dan ruang yang sempit untuk mencuba nasib dengan aksi pancingan dasar. Biasanya, waktu subuh hingga matahari mulai terbit adalah saat-saat terbaik untuk mendapat strike padu dari dasar. Memang begitulah kehendak Allah bro apabila setiap makhluknya bertebaran mencari rezeki di bumi yang telah disediakanNYA. Cuma sahaja jangan melampaui batas!
Seekor lagi spesis penyelongkar dasar laut menjadi trofi Ag Hasbullah
Oleh itu, umpan seekor sotong segar digunakan dengan menggunakan teknik sendakau/jaul dan pemancing hanya perlu bersabar menanti strike. Selalunya, tidak perlu menunggu terlalu lama untuk strike ketika ikan benar-benar aktif ketika itu. Jelasnya, penggunaan teknik ini memang khas untuk mengundang pemangsa bagak yang meronda dasar ketika hari masih gelap. Penggunaan perambut panjang melebihi 6 depa disyorkan jika anda memancing di belakang kapal. Jika memancing di hadapan kapal pula, perambut panjang itu pasti akan menganggu pemancing lain. Perlu peka dengan hal ini ya bro.

Tuan Mansur dengan Kerisi Bali yang tewas dalam pertarungan.
Pancingan pagi sabtu agak suram apabila hanya beberapa ekor ikan berjaya didaratkan selepas beberapa kali berpindah lubuk. Suasana ini berterusan hingga sessi pancingan menghampiri tengah hari. Ikan juga kelihatan culas di pagi sabtu. Apa sebabnya ya?Persoalan ini berlegar-legar di benak setiap pemancing tanpa ada jawapan tuntas.
Belut ini berjaya menyebabkan pemancingnya kehilangan hampir separuh tenaga dalaman. Rontaan gostan yang dijana oleh tenaga ekornya benar-benar menyeksa kudrat pemancing.
Ketika sedang rancak bermonolog dan berdialog bersama rakan-rakan disamping sedang tekun menanti joran yang agak lama berehat, tiba-tiba kami mendengar satu letupan kuat datang dari kapal pancing yang sedang beroperasi beberapa ratus meter dari labuhan kapal kami. Memang jelas kapal yang sedang menunda bot kecil ketika itu sedang melakukan aktiviti haram iaitu mengebom ikan! Patutpun ikan berhenti mematuk kerana telah lari ketakutan apabila berlaku getaran amat kuat di dalam air. Tidak kurang juga jumlah ikan yang tumpas apabila organ dalamannya rosak oleh perubahan tekanan secara tiba-tiba akibat letupan bom tersebut.
Salah satu tekniknya untuk melepaskan diri iaitu dengan membelit perambut. Belut  in menerima nasib malang apabila berhadapan dengan tekong dan awak-awak kapal. Terharu aku menyaksikan peristiwa yang menimpa belut ini.
Ada kemungkinan juga takat-takat yang dimiliki oleh tekong ini telah berada dalam senarai aktiviti pengeboman manusia tidak bertanggungjawab ini.  Malahan, beberapa takat yang kami labuhi kelihatan kosong tanpa penghuni. Nampak seolah-olahnya takat-takat ini juga telah menjadi mangsa bom ikan. Tidak lama lagi, takat-takat Sebarau ini akan menjadi gersang tanpa penghuni. Pengebom-pengebom ini akan beralih ke area yang baru untuk meneruskan aktiviti merosakkan ini. Ke mana la agaknya para penguatkuasa ya?tidur atau sudah kenyang?
Set separa ringan milikku yang banyak menganggur dalam trip ini. Set ini selalu menjadi pilihanku apabila kedalaman dasar laut melebihi 60 meter. Ianya seolah-olah terabai apabila majoriti takat-takat di sini hanya berkedalaman 30 hingga 55 meter.
Kami masih menanti sebarang pagutan dan setelah hampir sejam tanpa sebarang respon, kami mengikut nasihat tekong dan mengambil keputusan untuk berpindah keluar dari zon letupan. Dengan itu, kami segera meninggalkan zon musnah ini dan mula bergerak ke lokasi baru sejauh 20 batu. Lokasi tersebut adalah jauh ke laut Labuan berhampiran dengan pelantar-pelantar minyak. Perjalanan hampir 2 jam lebih itu adalah satu perjudian masa. Ikut nasib lah bro. Kalau sudah rezeki memang tidak ke mana tu.
Menyiang ikan segar untuk dgoreng
Awal malam itu, kami dihidangkan dengan fenomena Gerhana Bulan yang amat jarang berlaku. Beruntungnya kami apabila menyaksikan fenomena ini di laut terbuka luas tanpa sedikit awan pun yang menghalang pandangan. Memang indah dan ajaib apabila menyaksikan sendiri tanda-tanda kebesaran Allah. Berada di laut lepas, di malam hari dengan fenomena Gerhana bulan menjadikan diri ini langsung tiada punya apa-apa.
Ikan Kerapu dan ikan putih goreng benar-benar membuka selera Tuan Mansur
Apa yang aku perhatikan ketika fenomena gerhana bulan ini berlangsung, sotong menghilang diri dan ikan berhenti memagut umpan. Memang agak aneh apabila suasana pancingan berhenti seketika. Ikan menghilang entah ke mana dan sotong juga turut menghilang. Agaknya mereka keliru dengan peranan bulan ketika itu ataupun turut sama terleka menyaksikan fenomena tersebut? Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahasia alam. Apa aktiviti yang sesuai bro? Ngupi laa sebaiknya.
Tuan Mansur dengan tangkapan Kerapu bersaiz mantap!

Fenomena gerhana bulan hanya berakhir lebih kurang dalam pukul 9 lebih malam. Seperti dijangka, sotong mula kelihatan berkeliaran dan ikan-ikan di dasar laut kembali memuncukan diril. Aktiviti mencandat sotong sambil membottom kembali mendominasi suasana pancingan malam. Suasana agak nyaman ketika itu apabila angin sepoi-sepoi bahasa bertiup menyejukkan badan. Tanpa disedari, jarum jam menunjukkan angka 12.05 pm..tidak sedar masa berlalu…bersambung lagi..hehehe

Tiada ulasan:

Catat Ulasan