Selasa, 7 April 2015

TRIP MEMANCING DI KUALA PENYU Finale

Hari terakhir(Ahad)
Selepas tengah malam itu, aku hanya berbaring sambil setia menanti pancing di luar kabin bersama rakan pemancing yang lain. Tuan Mansur walaupun agak berumur, tetap bertahan penuh kesabaran menanti pagutan ikan. Ketabahan, kesabaran dan kekuatan beliau amat aku kagumi dan insyaallah menjadi tauladan di kemudian hari. Kalau panjang umur, aku juga akan mengikuti jejak langkahnya dalam dunia pancingan. Menjaga kesihatan dan terus memancing sampai tidak larat. Memancing itu adalah satu terapi apabila minda dapat direhatkan sepenuhnya. Minda sihat, fizikal pun sihat. Boleh fight ikan bagak!
Barisan pelantar minyak labuan memagari area labuhan kapal pancing kami. Rasanya area ini selamat dari sebarang cubaan pencerobohan pengebom ikan kerana dikawal rapi oleh para peronda.
Suasana pancingan subuh agak dramatik apabila Cikgu Ag Pelilah terlepas Ikan Tambong Merah yang agak besar hanya di permukaan air dalam keadaan bladdernya yang telah menjulur keluar. Hooked up Ikan Tambong ini tidak kukuh dan ia dihanyutkan arus begitu sahaja. Apa boleh buat cikgu, bukan rezeki. Dapat tengok pun jadilah tu. Namun, aksi tidak berakhir begitu sahaja, aksi-aksi ganas dan tidak dijangka menyusul selepas itu.
Ikan Lapih/Lepih/Kaci menyerah diri ketka matahari berkira-kira mahu melabuh tirai. Sempat juga kekili milikku menjerit beberapa kali apabila dilarikan Lapih ini.
Ketika aku tengah terlelap seketika, aku tidak sempat menyaksikan aksi Tuan Mansur yang bersahaja melayan spesis misteri yang melarikan umpan di dasar. Tanpa dijangka, seekor Tenggiri terjerat oleh matakail tanpa menggunakan perambut dawai. Memang sudah menjadi rezeki beliau ini apabila matakail hanya lekat di celah barisan gigi tajam Tenggiri yang biasanya memutuskan perambut.
Kami agak terkejut apabila terserempak 'pump boat' kecil berada di tengah lautan luas yang dikemudi oleh seorang ayah dan anaknya yang berumur dalam lingkungan 8-10 tahun. Mereka kelihatannya sedang melakukan aktiviti 'trolling'. Tidak pasti pula mereka ini bermalam di mana ya? Anda berani kah?
Tidak semena-mena, joran cikgu Ag Pelilah disentap ganas oleh sesuatu. Joran membongkok maksima dan kekili spinningnya tidak berhenti memuntahkan tali sulam. Aku segera menaikan set pasternoster pancingku untuk memberi peluang dan ruang kepada cikgu Ag pelilah bertarung dengan bebas. Larian ikan melilau dan berjaya membelit tali pancing pemancing di hadapan. Beruntungnya, tali yang berbelit itu tidak bersimpul dan perlawanan tetap berlangsung. Tidak lama kemudian, seekor Haruan Tasik atau Banglus anggaran seberat  7 hingga 8 kg timbul dipermukaan. Namun kesilapan tekong ‘berpengalaman’ yang agak gopoh mencangkuk ikan menyebabkannya terlepas apabila cangkukkan yang tidak kemas telah memutuskan perambut. Sungguh malang dan mengecewakan apabila setelah penat bertarung, pemancing tewas dengan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh tekong ‘berpengalaman’. Namun, aksi pancingan tetap diteruskan.

Salah satu tujuan utama para pemancing bermalam di laut lepas adalah untuk menikmati fenomena saat matahari terbenam tanpa sebarang halangan. Saat indah begini memang sukar untuk dilepaskan kepada para pencinta alam semulajadi.

Ketika sedang leka menanti pagutan ikan di dasar, sekali lagi joran milik cikgu Ag Pelilah tiba-tiba membongkok seraya diikuti dengan jeritan nyaring kekili spinning Banax 8000. Beliau berusaha keras mencabut joran dari ‘rod holder’ dan menjerit meminta tolong untuk dipakaikan pemegang joran di perutnya untuk bertarung dengan pemangsa bagak. Kudrat dan pengalaman beliau menjadi sandaran dalam pertarungan itu. Larian pemangsa agak ganas dan sekata. Aku menjangkakan ianya adalah dari spesis ikan Pari.
Pari memang agak degil apabila merasa tancapan matakail dicelah mulutnya. Walaupun begitu, kudrat kilauan emas tetap tidak menyerah kalah. Fish on bro!

Pertarungan berlangsung hampir 20 minit dan mula menunjukkan tanda-tanda garisan penamat apabila mangsa mula menunjukkan tanda-tanda untuk menyerah kalah dengan mengikut setiap karauan kekili. Kali ini, awak-awak kapal bersedia dengan gaff/cangkuk yang kemas dipegang. Sejurus Pari timbul di permukaan air, awak-awak segera mencangkuk Pari dan ‘struggle’ menaikkannya ke atas badan kapal. Terbayar penat lelah cikgu Ag Pelilah dalam pertarungannya menentang Pari anggaran berat lebih 10 kg.
 Waktu pagi baru ambil gambar!hehehe..kencang juga urat belikat apabila menanai Pari melebihi paras lutut ini

Sessi pancingan subuh ahad diteruskan dengan sambutan yang agak suram dari penghuni dasar. Angin Timur laut mula bertiup menyebabkan aku merasa sangat sejuk. Aku yang mula merasa agak sejuk, penat dan lesu kembali masuk ke dalam kabin untuk lelap seketika. Aku hanya terjaga kira-kira pukul 5:30 am dan tidak merasa rugi dengan masa yang berlalu setelah rakan yang berjaga memaklumkan tiada strike ikan berlaku sejak aku masuk tidur. Tidak rugi tidur bro..hehehe..back on business! Angin Timur laut masih bertiup agak kencang di pagi ahad menyebabkan permukaan laut bergelora. Kapal sedikit terhoyong hayang apabila dilanda ombak bungalapang setinggi hampir 2 meter. Walaupun begitu, sessi pancingan tetap diteruskan dengan harapan menggunung masih sempat memenuhkan tong ais. Harapan tetap tinggal harapan dan kira-kira pukul 09:15 am selepas Ag Hasbullah berjaya mendaratkan seekor Jemuduk/ Bekalang Biawak, kami berpindah meninggalkan lubuk.
Aksi lewat malam menjadi meriah seketika apabila Banglus/Haruan Tasik/Cobia ini melakukan tawaf keliling kapal dalam percubaannya melepaskan diri.

Perjalanan pulang bermula dengan meniti setiap lubuk yang dilalui. Malangnya, sambutan dingin di setiap lubuk disebabkan oleh sonar kapal yang tidak berfungsi sepenuhnya dan sauh yang tidak lekat menyebabkan labuhan kapal yang tidak tepat dan sering tersasar dari labuhan. Akibatnya, setiap labuhan pancing sunyi sepi tanpa sambutan. Kira-kira jam 12:45 pm, tekong mengambil keputusan untuk menamatkan pancingan dan kapal mula bergerak pulang.
Sekali lagi berlaku tawaf apabila Tenggiri ini 'foul hooked' perambut tanpa dawai. Memang betul-betul dah menjadi rezeki apabila matakail bersaiz 3/0 melekat di celah barisan gigi yang amat tajam.

Perjalanan pulang dari laut Labuan sejauh 27 batu dijangka akan mengambil masa lebih kurang 4 jam. Dalam perjalanan pulang, kami lebih suka mengemas peralatan dan menyimpannya ditempat selamat. Selesai semuanya, barulah membersihkan diri dan menukar pakaian sebelum masuk ke kabin untuk tidur.hehehe. Perjalanan kapal terganggu seketika apabila terhenti ketika melepasi Noosong, perairan di antara Pantai Sawangan dan Pulau Tiga apabila enjin kapal tiba-tiba mengeluarkan asap berkepul-kepul. Alamak! Rupanya enjin 'overheat' dan 'belting' terputus. Tekong dan awak-awak terpaksa mengambil masa lebih sejam untuk membetulkan keadaan. Kami bersyukur kerana kejadian itu tidak berlaku di tengah laut. Jika tidak, pasti haru biru..hehehe..Jam 6 35 pm, kami selamat tiba di jeti resort Pulau Tiga dengan membawa pulang seribu kenangan.
Satu-satunya tangkapan berstatus hero di pagi ahad yang tewas kepada teknologi 'bangla'. Akan datang jika kudrat sudah semakin berkurang, aku boleh pertimbangkan untuk memiliki sebiji bangla sebagai insuran memancing di laut dalam.
Kesimpulan
kebanyakan takat-takat tersebut walaupun tertekan oleh aktiviti mengebom yang tidak terkawal, namun masih lagi berupaya dipulihkan jika penguatkuasaan benar-benar dilaksanakan. Pihak berwajib perlu menjadikan usaha penguatkuasaan oleh pihak berwajib di negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan. Pihak berwajib kita perlu ada helikopter untuk melakukan rondaan selang 4 atau 5 jam. Jika pegawai pemantau berjaya mengesan aktiviti kapal dalam keadaan mencurigakan di tengah laut, mereka perlu segera memaklumkan kepada ibu pejabat agar menghantar bot laju dengan anggota yang lengkap bersenjata ke lokasi yang dimaklumkan. Begini pun mereka tidak dapat fikir kah bro?Duit pembayar cukai dibelanja juta-juta setiap tahun..hasil tatap zero!

Provokasi tekong dengan melimpas hampir di bawah kolong sahaja. Bergegas pekerja pelantar mengarahkan kapal segera bergerak menjauhi pelantar.

Selain itu, fasiliti asas dan servis kapal pancing tersebut agak menyedihkan berbanding dengan sewa yang agak mahal dikenakan.  Sebenarnya, kebanyakan pemancing tidak kisah dengan kos tetapi sangat prihatin dengan keselesaan perkhidmatan dan fasiliti kapal pancing. Memancing biar enjoy, bukannya sengsara bro!
Daratan Borneo kelihatan jelas dalam perjalanan pulang dan wilayah persekutuan Labuan pun nampak jelas di hadapannya.
Saya berpendapat sudah tiba masanya para pengusaha kapal pancing perlu menitikberatkan aspek fasiliti asas dan perkhidmatan terbaik oleh tekong dan awak-awak di dalam kapal untuk keselesaan para pemancing. Saya yakin bahawa jika terdapat pengusaha kapal pancing yang mementingkan keselesaan para pemancing, pasti kapal miliknya akan ditempah penuh sehingga beberapa tahun ke hadapan. Tunggulah nanti apabila cikgu Ag Pelilah muncul dengan ‘new vessel’ miliknya. Lihat lah nanti uniknya apabila pengusaha berjiwa pemancing menyediakan khidmat terbaik kapal memancing di laut dalam dengan motto 'Memancing biar enjoy'. Salam ikhlas dari lempayun


2 ulasan:

  1. Terbaik... bos bole info kh? Team sy mau turun dri kuala penyu.. mna tmpt mau boking?

    BalasPadam
  2. Terbaik... bos bole info kh? Team sy mau turun dri kuala penyu.. mna tmpt mau boking?

    BalasPadam