Selasa, 7 April 2015

TRIP MEMANCING DI KUALA PENYU Pt 1

03-05/04/2015 (Jumaat-Ahad): Trip memancing telah dianjurkan oleh Ag Hasbullah dengan menggunakan khidmat kapal yang berpangkalan di Kuala Penyu. Sebelum itu, kapal yang telah ditempah awal telah mengalami masalah awak-awak dan bertindak membatalkan trip kami. Ag Hasbullah selaku kapten pasukan segera bertindak mendapatkan khidmat kapal pancing lain.
Jeti pendaratan bot laju ke  Resort Pulau Tiga
Beruntungnya memang ada sebuah kapal yang ‘available’ ketika itu. Malangnya, kapal tersebut hanya mempunyai permit membawa 8 orang pemancing sahaja. Oleh itu, Jumlah pemancing yang bakal beraksi seramai 11 orang, kini terpaksa dikurangkan kepada 8 orang. Mujurlah salah seorang dari pemancing  awal dari kumpulan tersebut telah menarik diri di saat-saat akhir disebabkan oleh kos yang terlalu tinggi. 
Kapal pancing yang disewa agak kecil berbanding kapal-kapal pancing yang berpangkalan di Kota Kinabalu. Kapal ini hanya mempunyai permit kebenaran untuk 8 orang pemancing sahaja.
Kekosongan tersebut segera aku isi untuk meninjau kualiti khidmat kapal dan lubuk sebagai rujukan team Killar Anglers dan team-team lain di masa hadapan. Mana la tau jika Killar Anglers berniat untuk mengadakan satu trip pancingan di Kuala Penyu suatu masa nanti. Boleh lah menjadikan trip ini sebagai rujukan.
Guru subjek Geografi ku ketika berada di tingkatan 3 dalam tahun 1988 telah menjadi rakan pancingan pesisir dan laut dalam sejak tahun 2002. Alhamdulillah beliau masih sihat walafiat dan mempunyai kudrat kental untuk berhadapan aksi-aksi ganas di laut lepas.
Hari Pertama(Jumaat)
Selepas Sholat Jumaat, semua ahli trip memancing ini sudah pun berkumpul di kapal pancing yang akan dikemudi oleh Tekong Sting dan dibantu oleh 2 orang awak-awak. Ahli dalam trip  memancing ini terdiri daripada Ag Hasbullah, Cikgu Ag Pelillah, Tuan Mansur, Cikgu Rosly, En Justin, Cikgu Junaili dan anak serta aku sendiri. 8 orang pemancing untuk sebuah kapal bersaiz begini memang selesa cuma poket sahaja yang agak kurang selesa apabila RM 2800 dibahagi 8 0rang.hehehe
Kerapu Pulut/Bolot di lubuk pertama yang hanya berkedalaman 43 meter. Saiz sebegini amat menyeronokkan apabila dilayan dengan set ringan. Rod Pe 1- Pe 3, Reel Shimano Navy 4000 dan braided 30 lb. Mantap bro!
Tanpa membuang masa, kapal mula bergerak meninggalkan jeti resort Pulau Tiga. Kapal pancing berukuran lebih kurang 12 kaki lebar dan 45 kaki panjang ini bergerak dengan kelajuan 8 hingga 9 knot. Kelajuan ini dianggap normal untuk sesebuah kapal pancing malahan jauh lebih laju dari kebanyakan kapal pancing di Kota Kinabalu. Malahan ada kapal pancing yang hanya bergerak selaju 5 knot sahaja!
Penghuni dasar di takat-takat ini terdiri dari spesis gred A. Malangnya, aktiviti mengebom yang berleluasa berlaku tanpa kawalan dan pemantauan oleh pihak berkuasa mula menjejaskan stok ikan secara drastik. Jika dibiarkan, pasti takat-takat ini akan sunyi tanpa penghuni.
Laut amat teduh ketika kami tiba di spot pertama iaitu lokasi bergelar Sebarau kira-kira pukul 4: 50 pm dan memulakan sessi pancingan dasar dengan menggunakan umpan Basung yang telah dibeli di Pekan Papar. Seperti biasa, aku suka beraplikasi dengan penggunaan teknik paternoster. Penggunaan matakail kecil dan perambut berdiameter kecil dapat mengurangkan sensitiviti ikan terhadap benda asing. Joran berkekuatan Pe 1-Pe 3, kekili bersaiz 4000 dan braided hanya 30 lb sentiasa setia menemani ku dalam setiap sessi pancingan laut dalam.

Bukan senang mau cari spa di tengah laut.
Spot pertama ini hanya berkedalaman purata 35 meter hingga 55 meter sahaja. Aku amat senang dengan kedalaman ini kerana satu kelebihan untukku yang gemar menggunakan set ringan sebagai alat menduga penghuni dasar. Selain dari aspek kepantasan dan penjimatan tenaga, perlawanan dengan ikan juga akan bertambah 'karan' jika terkena mangsa bersaiz bagak. Meraung sakan kekili apabila bertarung dengan ikan broo..

Ikan Babakan/Jebong/ikan ayam memang jadi pujaan sejak dahulu lagi. Ikan bakar ini sentiasa didambakan kehadirannya dalam setiap sessi memancing. Dulu senang betul mau dapat spesis ni bro.
Suasana pancingan di lubuk pertama menjadi meriah apabila kedengaran suara strike di hadapan dan belakang kapal. Kali ini, spesis demersal seperti Kerapu dan ikan karang yang lain memonopoli strike pemancing. Setelah beberapa ketika, suasana kembali sunyi seolah-olah memberi isyarat kepada tekong untuk berpindah lubuk. Mujurlah, tekong amat memahami suasana itu dan segera mengarahkan pancing diangkat untuk berpindah. Ini lah sikap tekong yang aku gemari.
Ruang sempit kabin dan lantai separuh terbuka mendedahkan sebahagian besar enjin di perut bot. Tidur di waktu malam dan ketika dalam perjalanan mendedahkan diri anda kepada karbon monoksida dari enjin diesel dan generator. Ini sangat tidak bagus untuk kesihatan tu bro.
Sessi berpindah labuhan kapal berlaku beberapa kali dalam radius takat yang sama sehingga  labuhan terakhir untuk aksi pancingan malam. Keadaan permukaan laut agak teduh tanpa tiupan angin ketika itu dengan arus yang agak perlahan bergerak sekata dari dasar hingga ke permukaan laut. Suasana indah ini sentiasa diimpikan oleh setiap pemancing laut dalam. Dalam pada itu, pelbagai spesis ikan mula memenuhi tong para pemancing. 


Seekor lagi Kerapu Pulut/Bolot menjadi milik Ag Hasbullah.
Sebaik sahaja matahari mula terbenam, generator segera dihidupkan untuk menyalakan beberapa biji lampu dan spot light di atas badan kapal. Cahaya lampu sorot yang terang benderang mula menarik perhatian pelbagai makhluk akuatik nokturnal terutamanya sotong jarum dan cumit. Apa lagi bro, mari menyotong sambil membottom. Nasib baik, aku sempat berbekal beberapa biji jig squid yang telah dibeli tahun lepas lagi. 
Hasil pancingan malam pertama memenuhi hampir setengah tong ais Ag Hasbullah. Beliau ini sangat tabah berjaga malam dan  rajin menukar umpan
Seekor demi seekor sotong berjaya didaratkan dan segera disimpan di dalam peti penyejuk. Sotong yang berjaya ditangkap juga dijadikan umpan segar untuk pancingan dasar di waktu malam. Penggunaan seekor sotong sebagai umpan adalah satu kelebihan untuk menarik perhatian pemangsa bagak yang berkeliaran di dasar laut pada malam hari. Untuk itu, penggunaan Jaul atau sendakau dan perambut panjang menjadi keperluan untuk sessi pancingan malam ini.bersambung..




Tiada ulasan:

Catat Ulasan