Rabu, 27 Ogos 2014

NANGNAK PART 3: TEKNIK DAN KAEDAH

Teknik
Kejayaan terbesar rekod peribadi setakat
 ini bermain Nangnak adalah Kanai/
Tembaring/Black Bass
Penggunaan Nangnak ini sebenarnya amat sesuai untuk pemancing yang gemarkan teknik karauan perlahan dan penuh kesabaran ketika beraksi. Jika pemancing tersebut dari jenis yang menggemari aksi pantas, hanya sedikit masa diperlukan untuk membiasakan diri dengan softlure ini. Peniruan struktur badan dan saiz udang sebenar memberi cabaran kepada pemancing untuk mempersembahkan aksi Nangnak agar menyerupai udang hidup. Teknik yang sesuai adalah Nangnak perlu dikarau amat perlahan sama ada sesekali menyentap ataupun karauan lurus sahaja tanpa henti.  Lontar dan biar ia tenggelam sehingga ke dasar atau menghampiri dasar sungai. Seterusnya, cabaran sebenar adalah usaha menjadikan Nangnak seolah-olah hidup. Lulus atau tidak persembahan anda bergantung kepada jika berlakunya strike!
Kaedah
Nangnak amat sesuai digunakan jika spot tersebut penuh dengan jerumun kayu, bangkar tenggelam, struktur kapal tenggelam, kawasan berbatu dan kawasan terbuka. Jangan risau, oleh kerana matakailnya yang tersembunyi di dalam badan, ia adalah kalis sangkut. Oh ya,  wajib gunakan perambut fluorocarbon saiz kasar sekurang-kurangnya 40 lb ke atas agar Nangnak kelihatan bersendirian. Kaedah kasar lawan kasar pastinya menjadi pilihan untuk bertarung dengan penghuni struktur di bawah permukaan air. Biar joran patah, biar kekili barai asal jangan sangkut!hehehehe.. Antara perkara yang perlu diberi perhatian untuk aksi Nangnak adalah,
Anak GT yang bermain di sungai
 juga terpedaya dengan Nangnak ini
Kerapu sebagai pelanggan tetap
 kepada Nangnak yang suka berlegar
di dasar sungai
Pertama, hampiri lubuk dengan amat senyap. Saya akan behentikan enjin bot 50 meter sebelum tiba ke lubuk dan hanya menggunakan pengayuh untuk bergerak menghampiri lubuk (thruster tak mampu beli lagi broo,.hehehe)..Sauh tidak akan diturunkan sebelum lubuk diuji. Jika terdapat sebarang tanda awal kewujudan pemangsa, sauh akan diturunkan dengan amat perlahan. Kedudukan bot perlu berada seiring dengan spot dan jarak antara bot dan spot pula sekurang-kurangnya 30 kaki. Rakan atau anchorman yang membuang sauh pasti akan dihumban ke dalam sungai jika sauh yang dibuang secara semberono. Bunyi kocakan air dan jatuhan kasar sauh ke dasar sungai pasti akan menakutkan ikan dan menyebabkan mereka bertempiaran lari meninggalkan lubuk. Buat penat aku berkayuh sahaja!
Ungah adalah mangsa Nangnak
yang amat lazim!
Selungsung termasuk dalam
senarai mangsa godaan
Nangnak
Nangnak amat sesuai dimainkan di dalam sungai
berpaya bakau yang sempit dan dipenuhi
dengan jerumun kayu
kedua, drag kekili perlu diketatkan kerana untuk bermain dengan pemangsa yang mengawal sarang, jangan benarkan ia menyelinap ke dalam sarangnya. Kata Pak Wong satu ketika dahulu, ‘untuk menangkap harimau, perlu masuk ke jerumunnya.’ Oleh itu, pastikan kekili dan joran anda berada dalam keadaan tip top agar boleh menahan bebanan mendadak(strike). Kekuatan joran dan kekili bergantung kepada spesis yang anda buru, Saya menggunakan joran berkekuatan Pe1-3 dan kekili spinning Shimano Navi 4000 untuk memburu Kanai?Tembaring. Untuk set BC, Curado dipasangkan dengan joran 10-25 lb mungkin memadai. Saya tidak pasti apa akan terjadi jika terserempak dengan Kanai bagak!.Sekali lagi, pastikan joran dan kekili dalam mod operasi jika tidak, anda pasti dikhianati oleh peralatan sendiri.
Ketiga, Nangnak terus dihantar ke spot sasaran terutamanya spot yang ada struktur timbul seperti hujung bangkar kayu. Biarkan ia tenggelam dan sebaik sahaja ia mencecah ke dasar, karau Nangnak dengan perlahan dan sesekali melakukan sentapan pendek seolah-olah udang melenting. Sebaiknya biarkan Nangnak lama sikit bermain di radius sambaran pemangsa. Selalu sangat Nangnak di sambar ikan ketika ia jatuh ke dasar sungai dan sewaktu dikarau naik. Bersedia untuk strike! Jika terasa Nangnak melanggar sebarang struktur, berhenti dan biarkan ia turun semula, selepas itu karauan akan dimulakan semula.
Nangnak steam membuka selera Ungah 
juvenile
Keempat, jika arus sungai agak kuat, gunakan Nangnak 15.5 gram dan boleh juga ditambah dengan pemberat. Lontaran Nangnak hendaklah jauh ke atas arus dan karauan perlahan dilakukan serentak Nangnak dihanyutkan arus dan bersedia apabila Nangnak menghampiri atau melintasi spot sasaran. Jika arus sungai agak perlahan, amat sesuai jika menggunakan Nangnak 3.5 inci dan 2 inci. Permainan Nangnak ketika itu lebih banyak tertumpu dalam perimeter reba/bangkar atau jerumun.
Memang Nangnak steam ini menjadi
item paling hot di lubuk Kerapu
Kelima, apabila berlaku strike di dalam reba, serahkan pertarungan dengan pemangsa kepada kekuatan joran dan kekili. Daya lentur joran dan drag kekili akan saling berkerjasama menyerap tekanan dari pemangsa. 
sungai cetek dan berbatu adalah spot
terbaik untuk bermain dengan Nangnak

Anda hanya perlu mengawal larian pemangsa dan menghelanya keluar apabila peratus kejayaan mula berpihak kepada anda. Jangan lupa untuk memeriksa perambut selepas berjaya mendaratkan pemangsa. Jika keadaan perambut luka atau calar, jangan teragak-agak untuk menukar kepada perambut baru. Jika anda tidak rajin sikit, pasti anda akan berputih mata!selalu sangat berlaku ni broo..trust me!
Pemberat 4 gram hingga 6 gram
digunakan untuk membantu
Nangnak tenggelam ketika
dilanda arus deras
.
Ke enam, oleh kerana para peminat Nangnak ini adalah ikan dari pelbagai spesis dan saiz, anda amat digalakkan untuk melepaskan tangkapan yang bersaiz kecil/juvenile. Tidak rugi sebenarnya, kerana para juvenile ini adalah untuk simpanan/stock masa depan dan pelaburan jangka panjang anda. Jika mereka pupus, Nangnak anda hanya akan beralih tugas kepada penghias akuarium semata-mata..bukan boleh direbus pun!!..hehehehe..
Mangsa-mangsa Nangnak yang
bergelimpangan di belakang
Pick-up.
Alangkah syoknya jika penjagaan dan pemuliharaan sungai dikuatkuasakan dengan rigid seperti yang berlaku di negara-negara barat. Setiap pemancing perlu lesen tahunan untuk spesis tertentu dan benar-benar mematuhi kod etika tangkap dan lepas untuk ikan bersaiz kecil.  Sebenarnya, sistem Tagal memang sudah lama dilaksanakan di Sabah, cuma sistem ini hanya berlegar di kawasan hulu kampung dan hanya melibatkan penduduk kampung tersebut. Penduduk luar pula..telan air liur saja la bro!
Bermain dengan Nangnak sebenarnya merupakan satu lagi cabang seni dalam dunia pengailan. Kemahiran anda meng'hidup'kan Nangnak menunjukkan aras kreativiti anda sebagai Pemancing. Kesabaran, ketekunan dan keyakinan anda mengaksikan Nangnak akan berbayar tunai apabila anda mendapat strike padu dari mangsa godaan Nangnak anda. Saat itu, anda mula bertekad untuk memikirkan kotak pancing yang lebih besar dan luas agar terdapat lebih ruang untuk Nangnak yang anda akan pajak di kedai-kedai pancing nanti..hehehehehehe..bersambung lagi bro...

1 ulasan:

  1. Gud info...mmbari dangki ngian...maunjar tah dulu udang plastik ni..spot ada sdh ni....kan menambahi raas saja lagi

    BalasPadam