26/07/15(ahad): teamlempayun melangkah ke tahap baru apabila menyertai group pancing yang lain dalam usaha menambah jumlah lawa-lawa di Teluk Bengawan. Lawa-lawa atau lebih dikenali di peringkat antarabangsa sebagai FADs (Fish Aggregating Devices) adalah struktur yang dapat mewujudkan satu rantaian kehidupan akuatik tersendiri di sesuatu tempat. Ianya ditandai oleh buluh yang berdiri secara vertical di permukaan laut. Bagaimana buluh itu boleh berdiri?nanti saya ceritakan.
|
Awal pagi memuatkan bot dengan set labuhan lengkap lawa-lawa |
FADs
FADs atau dalam bahasa tempatan, lebih dikenali sebagai Lawa-Lawa atau di semenanjung adalah Unjam. Tradisi membina lawa-lawa ini sudah bermula agak lama oleh para nelayan tradisional dalam usaha mengumpulkan pelbagai spesis ikan di bawah satu bumbung. Oleh itu, mereka perlukan satu struktur terapung yang mampu menarik kehadiran anak-anak ikan sekaligus menjemput spesis ikan yang lebih besar datang bertandang.
|
Pelepah nipah yang berdaun sebagai aksesori tambahan diikat ditali yang menghubungkan karung pasir sebagai pemberat dengan buluh sebagai pelampung |
Material
Penggunaan material semulajadi seperti buluh, pelepah nipah, ranting buluh, kayu bakau, pokok Perapat, Pokok Baru dan lain-lain lagi boleh diperolehi dari alam sekitar. Hanya tali (5mm) dan karung plastik sahaja yang perlu dibeli dari kedai. Sebelum itu, buluh ditebang dan dikumpulkan di satu tempat yang berdekatan dengan sungai. Ianya untuk memudahkan pengangkutan ke muara sungai. Pelepah-pelepah nipah pula boleh diambil dari pokok nipah yang hidup subur ditepi sungai berair payau. Manakala, Raas pula dari pokok apa saja yang dirasakan perlu.
|
Pemancing yang baru hendak turun ke laut |
Kaedah
Tali akan dipotong mengikut kedalaman laut yang dipilih menjadi lokasi pembuangan 'melabuh' lawa-lawa. Pengetahuan sedia ada yang diwarisi sejak turun temurun ini menjadi panduan dalam memilih lokasi melabuh lawa-lawa. Pemilihan cuaca yang baik dan laut yang teduh akan memudahkan proses melabuh lawa-lawa. Keadaan bot yang penuh sesak dengan labuhan agak merbahaya jika proses melabuh dilakukan ketika laut berombak.
|
Menunggu rakan dengan sebuah lagi bot yang sarat dengan 2 set labuhann lawa-lawa. Teduh laut bro, jelas kelihatan air sungai dan air laut bertaut mesra di muara. |
Tali yang bersaiz 5 mm menjadi pilihan ramai kerana ukur lilitnya yang sesuai untuk mengikat bahan-bahan tadi. Biasanya, segulung tali adalah seberat 2.9 kg dan berharga di antara rm 40 hingga rm 55. Segulung tali dianggarkan cukup untuk 8 buah lawa-lawa. Tali akan menghubungkan setiap bahagian tadi iaitu karung pasir di dasar, Raas diikuti dengan pelepah nipah dan buluh sebagai pelampung di permukaan laut.
|
sebuah bot lagi datang dengan 2 set labuhan. Sebuah lagi akan mengambil labuhan lain. Hari ini sahaja ada 6 labuhan dibuang ke satar |
Sesebuah bot biasanya akan membawa satu atau 2 labuhan (labuhan adalah set lengkap lawa-lawa yang terdiri dari buluh, sekarung pasir, pelepah nipah dan Raas dari potongan dahan atau ranting pokok apa saja) ke lokasi. Itu pun bergantung kepada saiz bot anda. Karung pula akan diisi dengan pasir yang bertindak sebagai pemberat yang akan memegang lawa-lawa dari dasar.
|
Bangkai Ikan Manyong yang ditemui terapung di tepi sungai. Manusia mana laa agaknya ni yang langsung tidak bertanggungjawab. Jika tidak mahu, catch and release laa…apa raaa |
Nelayan tradisional/Otai
Di Teluk Bengawan, tidak ramai nelayan tradisional yang masih tinggal mengusahakan lawa-lawa untuk periuk nasi masing-masing. Sepengetahuan saya, nelayan tradisional dari bengawan masih aktif melabuh lawa-lawa di tengah laut. Para nelayan tradisional amat serius dalam mengusahakan lawa-lawa ini. Mereka menganyam pelepah Nipah dan memperbanyakan Raas dalam setiap labuhan. Setelah siap, mereka akan mengumpulkan set lawa-lawa sendiri di muara sungai. Jika mereka hendak melabuh esok paginya, petang sebelum itu, set lawa-lawa sudah sedia dimuatkan ke dalam bot. Tidak membuang masa. Beberapa kali dalam sebulan, mereka akan membawa labuhan ke laut untuk menambah bilangan lawa-lawa di lokasi masing-masing. Semakin banyak labuhan, semakin banyak spesis ikan akan tertarik ke lawa-lawa masing-masing. Ianya ibarat oasis di tengah padang pasir.
|
Kenapa mesti dibawa pulang jika teragak-agak hendak mengambilnya. Lepaskan saja laa bro kerana ia juga adalah sebahagian dari rantaian akuatik |
Nelayan tradisional juga tahu jenis-jenis pokok yang boleh dijadikan Raas yang mampu menarik perhatian spesis ikan tertentu. Contohnya, penggunaan Raas dari pokok bakau akan menarik perhatian ikan Kerapu untuk menginap. Selain dari itu, mereka juga ada lawa-lawa khas yang digelar lawa-lawa muda untuk menarik perhatian sotong untuk datang menginap dan bertelur. Bila musim sotong, lawa-lawa muda ini mampu menghasilkan puluhan kilo sotong mengabang/harimau kepada mereka.
|
Otai yang sudah lama bersara kini kembali. Beliau nampak agak cergas dalam melakukan kerja-kerja sebegini. Syukurlah..fishing is a therapy. |
Satar
Lokasi melabuh lawa-lawa ini dikenali sebagai Satar. Masing-masing nelayan mempunyai satar sendiri yang tidak akan diganggu oleh nelayan lain. Terdapat 'Unwritten code' yang saya akan sentuh di bahagian seterusnya. Kebiasaannya satar adalah satu garisan yang tidak kelihatan pada mata kasar tetapi menunjukkan barisan lawa-lawa milik individu bermula dari pesisir pantai hingga ke tengah laut. garisan yang tidak nampak ini tidak akan diceroboh oleh nelayan lain yang berniat hendak melabuh lawa-lawa. Tradisi ini telah bemula sejak sekian lama dan masih dikekalkan oleh para nelayan tradisional. Kelebihan satar adalah, nelayan akan boleh mengenalpasti lawa-lawa miliknya hingga ke tengah laut tanpa tersilap menuai hasil di lawa-lawa milik orang lain.
|
Sessi membuang labuhan di lokasi. ranggas buluh adalah bahagian kedua akhir yang dilepaskan sebelum sinker(karung berisi pasir) dilepas ke dasar laut. |
Melabuh lawa-lawa
Sebaiknya buluh akan ditambat pada bot dan pelepah serta Raas akan diikat kukuh di badan bot ketika dalam proses penghantaran labuhan ke tengah laut. Jika set ini tidak diikat kukuh di badan bot, risiko buluh dan lain-lain akan terjatuh ataupun mencederakan boatman serta awak-awak adalah tinggi ketika keadaan laut berombak. Apatah lagi ketika melepasi muara yang selalunya agak bahaya ketika musim monsun. Boleh mendatangkan nahas ni bro. Perjalanan bot agak perlahan kerana sarat dengan labuhan yang agak berat. Ketika ini, penggunaan minyak agak tinggi dan enjin bot terpaksa berkerja keras membawa beban menuju lokasi. Apabila tiba di lokasi, kerjasama amat perlu ketika mengikat tali kepada karung pasir, buluh, Raas, pelepah nipah dan buluh. Arus dan arah angin diambilkira sebelum melepaskan labuhan. Saat membuang labuhan ini adalah kritikal dimana faktor keselamatan diutamakan. Segala bahagian perlu dipastikan telah berada di luar badan bot sebelum karung pasir dilepaskan ke dasar laut. Jika ada antaranya tersangkut di badan bot, karung pasir yang dilepaskan akan menyebabkan bot terbalik…totally disaster bro!..bersambung