Rabu, 12 Ogos 2015

Trip Pecah Tong Beliau

12/08/2015(Rabu):Setelah hampir 2 minggu tanpa aksi pancingan bagang akibat cuaca yang amat buruk, rasanya gian yang sudah ditahan sekian lama sudah tidak tertanggung. Hampir setiap petang ketika sessi berbasikal, aku akan singgah di pantai kenangan untuk melihat keadan laut. Beberapa hari ini, laut amat teduh dan menggaru-garu hati untuk aksi pancing.
Spesis berkualiti yang menghuni tiang-tiang bagang. Memang agak perit apabila melayan ikan ini dengan peralatan ringan yang hanya bergantung kepada appolo bersaiz 12.
Seawal jam 5:30 am, aku dan beliau bertolak dari rumah setelah memenuhkan belakang pick up dengan enjin sangkut, tong ais, joran dan lain-lain lagi. Jalanraya amat basah menunjukkan hujan yang lebat turun semalam. Suhu persekitaran agak sejuk dan tenang. Kelihatan bulan sabit di ufuk timur dan bintang memenuhi dada langit memberi petanda cuaca amat baik.
Pemancing dari bot lain yang sempat menghulur buah rambutannya kepada kami. Termikasih tangahnya..hehehe..next time manggis atau durian la pula ya
5:40 am, kami tiba di jeti dan mula menurunkan peralatan ke tepi sungai. Air sungai turun surut agak perlahan ketika itu.  Tanpa berlengah, aku memecut enjin bot menuju muara sungai yang ‘ramah’ bertemu dengan laut. Syukur laa bro, laut teduh dan cuaca pun amat cantik. Hati berbunga-bunga apabula melihat betapa indahnya cuaca. Lampu-lampu bagang pun masih menyala.
Hasil apabila arus ngam, suhu ngam, cuaca ngam,laut ngam dan kepala pun ngam.
Kami singgah di bagang pertengahan untuk mendapatkan umpan. Seperti biasa, di situ juga kami akan memulakan acara. Sambutan dari penghuni dasar amat menggalakkan sehingga mendorong kami bertahan seketika. Hampir 20 minit apabila patukan mula berkurang, kami berpindah lagi ke bagang atas. Di lokasi ini, kami telah berjaya mendaratkan pelbagai spesis berkualiti.
Hasil tangkapan yang menyebabkan beliau tidak akan menjengah pasar ikan dalam beberapa minggu ni.. Stok baru akan tiba hujung minggu ni.hehe
Teknik penggunaan appolo sama ada yang dibuat sendiri atau dibeli di kedai benar-benar berkesan dalam aksi pancingan bagang. Ikan spesis demersal dan pertengahan air mudah dijerat dengan teknik ini. Agar lebih mudah, beli saja appolo di kedai. Pakai dan buang saja. Akan datang aku akan sentuh berkenaan teknik ini.
Segar bugar dari ladang. Ini adalah kelebihan yang nyata apabila menjadikan memancing sebagai hobi. Pasti ceria, sihat dan jimat wang. 
Sambutan yang semakin kurang di bagang Bengawan menyebabkan kami berpindah ke bagang Mandahan. Bagang di pertengahan ini sering aku kunjungi kerana reputasi dasarnya yang dipenuhi oleh sisa-sisa bagang lama menyimpan banyak stok ikan-ikan berkualiti. Itu pun jika ngam arus, kejernihan dan suhu air. Rekod lama adalah pesta ikan Putih berkualiti jenis Tampang di lokasi ini.
Ikan Temenung bersaiz besar ini berjaya menaik taraf lesen pancing beliau. Mentua bini tidak akan banyak menimbulkan kerenah birokrasi jika mentua laki berkira mau aksi pancing bagang
Kami hanya ‘bermain’ di dua buah bagang. Apabila ikan kurang, kami pindah ke bagang di bawah. Jika ikan kurang pula, kami kembali ke bagang sebelumnya. Begitu la berulang kali sehingga ikan benar-benar berhenti mematuk. Di kedua-dua buah bagang ini, Ikan Gerunggung/Cencaru, Temenung Pulau, Umpak, Kerisi dan lain-lain lagi berebut-rebut memenuhkan tong 35 liter kami.
Ikan Surui amat banyak berkeliaran di permukaan air sehingga terpaksa diabaikan utntuk memberi laluan kepada ikan-ikan berkualiti di dasar dan pertengahan air. Ikan ini amat sedap direbus 'terjun' dan dipanggang basah. Cuma perlu hati-hati kerana tulang yang amat banyak.
Apabila jarum jam menunjukkan angka 12:00 pm, kami berkira-kira akan pulang selepas satu atau dua buah bagang lagi. Bagang yang terletak berhadapan muara Bengawan menjadi pilihan. Ketika ini, permukaan laut semakin kucah dan ikan di dasar semakin kurang. Aku mula melayan ikan ‘Surui’ yang datang berbondong-bondong mengutip sisa-sisa Pusu yang dibuang. Penggunaan pelampung dan matakail bersaiz kecil digunakan untuk ‘memunggah’ gerombolan ini..perghhh..taruk makan taruk makan!
Juara tangkapan hari ini. Kekili shimano Fx 2500 menjerit nyaring apabila braided line 15 lb berdesup keluar dari spool angkara pelari pecut ini
Rasanya tangkapan hari ini pasti hampir memenuhkan 'freezer' di rumah. Zaman meleset ini apabila semua barang semakin mahal dan kos hidup semakin meningkat, 'self sufficient' perlu mejadi pilihan semua orang. Apabia harga ikan-ikan yang dijual di pasar ikan semakin tidak munasabah, apa lagi pilihan anda? terus membeli ataupun tangkap sendiri? Rasanya, aku amat banyak menjimatkan duit untuk perbelanjaan bekalan protein ini. Yang penting adalah segar dan selamat tanpa penggunaan sebarang pengawet mayat!
Panggang basah adalah mengekalkan jus ikan yang amat segar dan manis di dalam isi ikan. Disamping menjadi diet sihat, ia juga benar-benar membuka selera makan tengahariku bro..perghhhhh..
Kejayaan pancingan bagang ini sebenarnya bergantung kepada kebolehan kita membaca keadaan air, suhu, arus, keadaan bulan, angin, pengaruh air sungai dan lain-lain lagi. Senario ini memerlukan kita sentiasa peka dengan persekitaran. Walau bagaimanapun, kalau dah gian apa saja keadaan pun, tetap turun juga. Mana tahan bro!Tangkapan banyak atau tidak bergantung kepada rezeki yang dikurniakaNYA. Oleh itu, banyak dan sedikit cuma syukuri apa yang ada. Sekian dan salam ikhlas dari Lempayun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan