Selasa, 18 Ogos 2015

Kaedah pancingan bagang edisi bottom (paternoster)

13/08/2015: Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah ranggung, jaul antuk, Appolo, Samurai dan Paternoster. Persembahan teknik ini berbeza dengan penggunaan jaul yang biasanya menggunakan perambut sepanjang sedepa lebih dan pemberat atau sinker yang digunakan selalunya bersaiz besar dan dikenali sebagai ‘penabur’. Batu pemberat untuk jaul mempunyai ruang kosong yang selalunya disumbat dengan isi ikan yang dicincang halus, Bubuk/udang dan Pusu untuk merasuah ikan. Aku suka menggunakan batu ladung panjang bersaiz 2 atau 3 bergantung kepada kelajuan arus. Alasan, batu ladung panjang lebih senang memotong air berbanding yang bulat.
Ranggung beli ini amat efektif untuk aksi bagang. Tapi sebelum itu, anda perlu ikat semula sambungan kepada swivel kerana ikatan dari kilang tidak kukuh dan mudah lucut.
Kaedah paternoster/ranggung untuk pancingan bagang amat berkesan dalam menjerat pelbagai spesis dasar dan pertengahan air. Biasanya, ia terdiri dari 3 hingga 5 atau 6 matakail yang diikat kepada tali utama. Ada juga rakan yang membuat paternoster menggunakan 10 hingga 15 matakail. Ni bukannya ‘tamaha’/tamak bro, tetapi bergantung kepada kemampuan masing-masing laa.hehehe
Buatan sendiri lebih berdaya harap. Tangsi dan matakail yang berkualiti dapat menjamin ikan berjaya didaratkan. Lagipun, buatan sendiri ini boleh dipakai berulang kali selagi dijaga dengan betul.
Pilihan
Pemancing boleh memilih sama ada membeli atau membuat sendiri paternoster. Ada banyak jenama paternoster  dijual di pasaran yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat sama ada antarabangsa atau tempatan.  Murah ataupun mahal terpulang kepada poket masing-masing. Di Sarawak ia lebih dikenali sebagai 7 eyes ini menjadi pilihan ramai pemancing yang tidak mahu sibuk sangat membuat paternoster sendiri. Ianya boleh diperolehi dari harga RM 1.50 hingga belasan ringgit.
Lingkuh ekor kuning yang berjaya ditewaskan dengan Samurai bersaiz 12 sahaja. Kesabaran dan ketenangan mengawal ikan membantu pemancing menewaskannya. Selebihnya, memang dah jadi rezeki apabila Samurai terbelit di badan ikan ini menyebabkan pergerakkannya terbatas dan cepat letih
kelemahan
Walaupun ianya agak murah kepada pemancing yang berkemampuan dan jenis tidak kisah mengeluarkan belanja, appolo buatan mesin ini tidaklah terlalu efesien. Penggunaan tangsi yang tidak berkualiti dan matakail murah menjadikan statusnya sebagai appolo pakai buang. Matakail mudah berkarat dan tangsi yang mudah menggerutu hanya membenarkan penggunaannya untuk satu trip sahaja. Ye la bro, dah jenis pakai buang tentulah pengeluar cuba meminimumkan kos pembuatan. Appolo bersaiz 10 hingga 14 adalah sesuai untuk pancingan bagang
Rekod peribadi apabila Pari ini ditewaskan dengan Samurai Seahawk bersaiz 10. Satu matakail sahaja berada dimulut ikan manakala 5 lagi membelit hampir keseluruhan tubuhnya. Drag kekili disetkan pada kedudukan paling minimum agar ranggung tidak putus ketika bertempur
Aku amat menggemari appolo bersaiz 12 walaupun ianya tidak kuat untuk menampung sentapan ikan-ikan bagak yang mempunyai larian pantas. Oleh itu, aku akan melonggarkan drag kekili seminimum mungkin. Biar sahaja ikan memecut lari sehingga ia berhenti dan hanya perlu gunakan joran lembut serta drag memainkan peranan selebihnya. Kena sabar laa bro, sehingga ikan kehabisan tenaga, ketika itulah ia akan dikarau perlahan dan berhati-hati. Kalau dah rezeki, dapat laa tu bro.hehehe
Ikan Gred A iaitu ikan Kelapa-Kelapa amat mudah terjerat dengan ranggung yang dihenjut perlahan tanpa henti di dasar laut. Jika spesis ini banyak, khidmat umpan Pusu tidak akan digunakan dan memadai dengan menghenjut matakail yang sedia ada 'rambu' berulangkali di dasar laut.
Home made
Dalam masa yang sama, aku juga menyediakan appolo buatan sendiri. Aku juga menggunakan tangsi berkualiti dan matakail tahan karat. Tangsi Dupont 10 lb dan 8 lb serta matakail Ieseama Fire Eagle stainless steel bersaiz 8 menjadi pilihan memuaskan. Tangsi yang berkualiti memang berdaya harap dan meyakinkan ketika bertarung dengan pemangsa bagak. Selalunya, aku akan menyediakan 5 hingga 8 appolo home made di dalam tackle box. Paling penting, ianya boleh digunakan berulang kali jika ia dicuci dengan air tawar selepas digunakan. Ini penting untuk menyahgaram yang boleh memendekkan jangka hayat matakail.
Pelanggan tetap ranggung. Biarkan ia memecut sepuas-puas hati dan layan saja dengan penuh kesabaran. Kalau dah rezeki, memang jadi ikan bro laa tu.
Umpan
Pusu atau Bilis adalah pilihan utama sebagai umpan oleh kebanyakan pemancing bagang. Ianya mudah diperoleh dan dianggap sebagai diet utama  semua spesis ikan bagang. Umpan Pusu segera disimpan di dalam tong ais agar dapat dikekalkan kesegarannya hingga ke tengahari. Jika anda gagal mendapatkan bekalan umpan Pusu, khidmat appolo bersaiz 8 digunakan untuk mencari anak-anak ikan yang bermain di sekitar tiang bagang. Kebiasaannya, anak ikan Temenung dan Rumahan menghuni tiang-tiang bagang. Umpan hiris laa jawabnya ni bro.
Teknik
Setiap matakail akan diletakkan umpan pusu dengan mencangkuknya pada mata ikan Pusu(sila lihat dan zoom gambar). Kelebihan meletakkan semua umpan pada matakail adalah untuk memaksimakan tangkapan ikan yang bermain di dasar. Kelemahannya pula, proses meletakkan umpan Pusu pada matakail agak leceh dan 'lambat/lidut'' kepada pemancing yang masih kurang pantas dalam bab ini. Latihan adalah satu-satunya cara untuk mengatasi masalah 'lidut' ini. Seorang pemancing yang berpengalaman biasanya akan pantas dan tenang dalam proses 'refill' umpan walaupun ketika itu ikan tengah frenzy gila-gila.
Umpan Pusu segar dan anak ikan Rumahan yang sedia untuk dihiris. Saya suka meletakkan hirisan anak ikan Rumahan di matakail paling bawah kerana ianya bersifat hanyir, berbau dan berdarah. Sifat ini amat mudah memanggil kehadiran ikan-ikan yang sedang berkeliaran di dasar. Teknik ampuh ini memang amat menjadi!
Ranggung ini akan diturunkan hingga menyentuh dasar laut dan joran hendaklah diletakkan dalam posisi selamat iaitu hanya hujung joran sahaja yang menjengah keluar dari badan bot. Berat joran dan kekili secara automatik akan membantunya bertahan apabila umpan dilarikan ikan. sebelum itu, pastikan drag kekili anda telah dilonggarkan. Anda tidak akan tahu apa spesis ikan yang sedang menunggu di dasar. Jika terkena spesis bagak, tanpa disangka joran anda akan terjun tiruk begitu sahaja dan seterusnya berkubur di sekitar struktur tiang bagang. Kebiasaannya, anda tidak perlu menunggu lama untuk sentapan ikan. Jika ini terjadi, pastikan anda mengawal larian ikan kerana jika ikan berjaya membelitkan ranggung anda dengan ranggung jiran sebelah…bergotong royong lah membuka 'kulutan' dan simpulan ranggung anda dan jiran. Akibatnya, anda terlepas masa frenzy ikan dan masa terbuang begitu sahaja.
Spesis yang datang berkumpulan seperti ikan Kerong/Kirung-Kirung ini selalunya dinaikkan secara 'full house' jika umpan dibiarkan seketika.
Kesimpulan
Mula dari menumpang bot kawan hingga aku memiliki bot sendiri, pancingan bagang sememangnya penuh dengan pengalaman pahit manis. Trip pecah tong, kumpau berjemaah dan dilanda ribut menjadi sebahagian cerita-cerita menarik dalam hidupku sebagai pemancing bagang. Lebih 10 tahun ini, aku juga telah kehilangan beberapa orang rakan pancingan bagang yang pergi dahulu menemui Ilahi. Kesimpulannya, aksi pancingan bagang sememangnya satu medium untuk lari seketika dari kehidupan berkerja sepanjang minggu.Masa untuk release tension brosalam ikhlas dari Lempayun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan