07/07/2019(ahad). Trip jigging penutup syawal yang telah diaturkan beberapa minggu sebelum ini, memang dinanti-nantikan. Tarikh ini dipilih setelah melakukan sedikit kerja rumah berkenaan keadaan cuaca, arah tiupan angin, kedudukan bulan dan pasang-surut air. Kami amat bernasib baik kerana tarikh tersebut masih terbuka untuk tempahan. Maka, tanpa bertangguh tekong ceria Laut Labuan haji Nasir segera diikat. Puasa jigging lebih sebulan ini bakal di'sungkai'kan ahad itu. Persoalannya, adakah sungkai itu hanya kurma semata-mata ataupun pelbagai juadah yang lazat dan enak?
Beraksi ceria dan penuh bergaya sebelum berpenat lelah meng'auta' ikan. |
Keadaan cuaca amat memberangsangkan ketika kami memasuki Pekan Menumbok. Langit sangat bersih di kakinya tanpa sebarang gumpalan awan 'jahat'. Suasana alam flora juga amat tenang tanpa sebarang tiupan angin. Ketiadaan tiupan angin di tengah laut akan menyebabkan suhu permukaan laut meningkat tinggi. Namun, apa yang diendahkan sangat jika permukaan laut teduh dan amat menyelesakan untuk aksi jigging. Biar panas terik bro..tak kisah, janji aman tanpa goyang Inul.
Seperti biasa, sarapan ringan untuk mengalas perut dan tapau nasi lemak ayam goreng untuk juadah tengahari nanti, kami segera bergerak ke jeti Kastam. "OTW, 15 minit sampai",Pesanan ringkas Haji melalui whatsapp saya. Kebiasaannya kami lebih suka menunggu daripada ditunggu kerana ikan juga sedang tertunggu-tunggu..hehehe..jangan biar lama ya bro!. Ketika sedang sibuk merakamkan gambar, kelihatan bot Haji semakin menghampiri jeti. Tanpa berlengah, peralatan tempur segera dipunggah ke dalam bot. Dalam trip ini, Jimmy akan menjadi pramugara kami sepanjang hari.
Keadaan permukaan laut yang memang diidamkan oleh semua Jigger. Pemilihan tarikh yang 'cun' dan sedikit tuah serta yang paling penting keizinananNYA bakal menentukan kejayaan sesebuah trip. |
Bot mula memecut laju membelah lautan yang amat teduh, rata dan berkilat. Destinasi kali ini adalah Vernon Bank kerana trip jigging sehari sebelum ini di takat Semarang agak kurang memberangsangkan. Walaupun jaraknya agak jauh, namun keadaan cuaca yang indah dan laut teduh pasti akan mengizinkan kami mengunjunginya. Wajah para jigger kelihatan berseri sedondon dengan keadaan cuaca yang aman ini. Masing-masing sudah mempersiapkan senjata tempur dengan pilihan peluru kegemaran. Vernon Bank, kami datang!
Rainbow Runner yang suka merempit di pertengahan air kantoi dengan mainan Jig Ustz Sudin. |
Kami berhenti seketika untuk warm up di takat Vernon bawah. Tidak perlu tergesa-gesa bro memandangkan laut teduh sampai ke perairan Vietnam.hehehehe.Hampir 10 minit aksi mengunjun tanpa sambaran, hon berbunyi lagi dan haji mengajak kami berpindah. Perjalanan diteruskan lagi menuju jauh ke kaki langit. Keadaan laut yang lenang dan air yang amat jernih mengizinkan kami melihat hingga ke dasar laut. Kawasan berpasir yang cetek ini menjadi spot kegemaran banyak sang Pari bersantai..Besar-besar pula tu...jernih macam dalam akuarium!
Rosy Job Fish aka Asang Rumahan sering kedapatan melencong dari laluan highwaynya di laut dalam. Kebiasannya spesis ini mendiami dasar laut berkedalaman 80 meter ke atas dalam kumpulan yang besar |
Laluan bot merentasi dasaran yang cetek berakhir di kawasan berair gelap yang bermaksud ianya agak dalam. Tanpa sebarang amaran, pergerakan bot berhenti secara tiba-tiba dan setelah melakukan manuever beberapa kali, akhirnya hon dibunyikan lagi..Yesss!!! jig berterjunan ibarat Pandalela Renong ke dasar laut. Masing-masing dengan aksi Kung fu dan silat semata-mata mahu menjinakkan musuh di dasar. Nasib baik laut teduh, jika tidak pasti akan ada jigger melakukan aksi Yoga..hehehe..
Pergerakan arus yang agak lemah menghanyutkan bot menyebabkan ikan di dasar kurang aktif. Arus yang lemah biasanya kurang menyebarkan plankton yang menjadi makanan ikan-ikan kecil. Akibatnya, ikan pemangsa juga akan pasif dan hanya menunggu mangsa di pintu depan rumahnya. Namun begitu, para pemain besi tetap tidak mengendahkan, apapun berlaku jig tetap diturunkan. Keadaan cuaca baik sebegini wajib dinikmati semaksimanya. Bukan selalu dapat cuaca seindah ini bro.
Saya hanya menggunakan jig seberat 60 gram kerana arus agak lemah dan membenarkan jig sampai ke dasar tanpa menunggu lama. Pelbagai teknik unjunan dipraktikkan dari Long Fall, short stroke, jerky, speed jigging, slow fall, sapu lantai, kegila-gilaan,suka hati dan lain-lain masih belum berjaya membangkitkan keghairahan pemangsa meligan jig. Namun, memang tipikal seorang jigger tegar, jig tetap diunjun dengan penuh kesabaran dan ketekunan. Mana laaa tau durian jatuh ke riba.
Kami berpindah dan berpindah lagi buat beberapa kali, dari takat ke takat sehinggalah kami tiba di takat paling atas Vernon Bank. Ketika itu, arus surut mulai bergerak menjelang awal tengahari. Sebaik sahaja hon dibunyikan, pelbagai jenis jig dan berat berebut-rebut masuk ke dasar laut. Walla!!!kami mulai berpesta strike. Sesekali 5 hingga 6 orang strike serentak. Pelbagai jenis spesis peminat jig berjaya didaratkan. Suasana amat riuh rendah ibarat pesta muda-mudi Pak Ma’on di Buloh Inn..hehehehe. Memang raya betul ni bro!
Pelbagai spesis Kerapu terutamanya Sunoh mendominasi tangkapan di takat ini. Kerapu Tong gas juga turut menyelit meligan jig.Satu demi satu makhluk bersirip mengeletak di lantai bot. Takat ini menjadi antara gelanggang tempur terbaik setakat ini. Apabila sambaran kurang galak, Haji membunyikan hon untuk bergerak ‘repeat order’. Repeat order beberapa kali tetap ada sambaran sehinggalah suasana di dasar benar-benar sunyi sepi.
Double hooked-up Travelly di spot yang sama membuktikan spesis ini bergerak secara berkumpulan dan gemar meronda berhampiran permukaan takat |
Lagi Asang rumahan berjaya didaratkan |
Merah menyala nampak lebih menyerlah apabila disinari cahaya matahari. Sayangnya, wajah pemilik tertutup menyembunyikan kegembiraan |
Bot berpindah lagi dengan bergerak perlahan menuju ke arah laut Semarang. Dalam perjalanan itu, bot tiba-tiba berhenti menandakan terdapat takat di bawah perut bot. ‘Mobile scanning’ ini memberi kelebihan kepada kami kerana takat di bawah sudah pasti masih dara. Apa?Dara?Apalagi bro, jig diturunkan dengan penuh nafsu berahi dan ianya mencapai klimaks apabila satu demi satu jig disambut ganas oleh pemangsa. Lenturan joran tersengguk-sengguk menahan asakan memberi nikmat luar biasa kepada pengunjun. Ironiknya, makhluk di bawah berjuang untuk nyawa manakala di atas pula berjuang untuk kepuasan..Lumrah alam!
Berdouble-double hooked-up..hehehe.vaganza Sunoh dan Lausu di takat yang sama menurut Haji memang agak jarang berlaku. Korang betul-betul raya kali ni! |
Aksi strike bersilih ganti berlanjutan dalam hampir semua takat yang kami singgahi. Kali ini, tiada lagi Jigger yang berstatus pro, otai mahupun nouvice kerana semuanya mendapat peluang yang sama apabila dasar dipenuhi oleh para pemangsa yang lapar. Suasana sambutan hari raya di rumah terbuka ini benar-benar meriah. Di dasar, ikan menjadi mangsa manakala di dalam bot pula, Haji pula menjadi mangsa apabila terpaksa bergerak ke haluan dan ceruk bot, berkejar bersama smartphone merakamkan gambar jigger dengan trofi masing-masing…hehehe…Haji tak menang tangan!
Ebek Bulat berstatus di antara juara telah berjaya mendera dan menagih keringat dan airmata Masta Pacul secukupnya. |
GT juga tidak ketinggalan menyambut kehadiran kami di rumah terbuka ini |
Suasana jigging yang aman damai di lautan tenang ini menyebabkan kami tidak sedar masa yang berlalu pantas. Sedar tak sedar, jarum jam menunjukkan angka 3 petang. Alahai…cepatnya masa berlalu. Walaupun terasa panas terik jigging di bawah sinaran matahari, ianya sedikitpun tidak terasa apabila rezeki jig amat murah di takat luas ini. Turunlah apa jig sekalipun, peluang tetap cerah mendapat sambaran. Ketekunan dan kesabaran menjadi kekuatan setiap jigger.
Pelbagai spesis ikan berjaya diperdaya oleh Masta Pacul dalam trip ini. Walaupun telah menderma Pod vape kepada penghuni dasar, wajahnya tetap ceria..banyak lagi bha vape jual di kedai. |
Gelanggang baru encik Manirr Boi memang membuahkan hasil. Katanya, tak payahlah trip jauh-jauh kali ni..Sini pun layanan juga berprestij tinggi. Banyak ikan berkualiti tinggi |
Kami mulai bergerak turun ke bawah Vernon Bank memandangkan jarak perjalanan pulang yang agak jauh. Perjalanan hampir 20 minit berakhir apabila bot berhenti di takat yang hanya berkedalaman 20 lebih meter. Bagi kami, masa-masa kecederaan ini wajib dipergunakan sebaiknya. Jig segera diturunkan dan seperti ulang tayang pagi tadi, kami beraya sakan lagi dengan sambaran-sambaran padu di dasar. Kali ini Kerapu Sunoh mendahului ranking peminat jig apabila pelbagai saiz Sunoh berjaya ditewaskan. Memang sangat mengujakan apatah lagi apabila melibatkan ikan gred A!
Orang baru benar-benar hanyir dalam trip ini. Racun gred high class kini mula mendap dalam sanubari dan sukar dipulihkan lagi. |
Sesekali spesis Travelly mencelah melarikan jig yang dihulurkan. Saya, Saat dan Masta Pacul berjaya hooked up Travelly bersaiz bagak. Terdapat juga sambaran rabut yang dijangkakan bersaiz bagak berdasarkan junaman padunya menyebabkan kekili meraung seketika. Suasana frenzy ini memang menjadi idaman setiap jigger. Tidak kisah apapun spesis, yang penting bersirip bro.hehehe. Hampir sejam berada di spot ini, pelbagai spesis berjaya didaratkan.
Memang bertuah apabila mendapat layanan Buy1 free 1 |
Perjalanan pulang dalam keadaan laut amat teduh telah memberi peluang kepada semua jigger untuk berehat dan memulihkan tenaga. Ribuan kalori yang telah terbakar sepanjang hari dan cecair yang hilang perlu diganti semula. Otot perlu direhatkan kerana perjalanan pulang akan disambung lagi di daratan.Konklusinya, trip ini telah memenuhi misi kami untuk menikmati penutupan bulan Syawal dengan cara kehidupan sebagai seorang jigger. Sebagai saranan, apa kata jika pemangsa yang bersaiz juvenile dikembalikan semula dengan selamat ke rumahnya. Anggaplah ia sebagai satu pelaburan untuk masa depan dunia jigging anda. Kalau bukan kita, siapa lagi bro.Salam ikhlas dari Lempayun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan