04/06/19: Hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut kehadiran bulan Ramadhan, seawal jam 7, bot yang memuatkan 8 orang penagih tegar ‘jigging’ memecut laju menuju lokasi sekitar Vernon Bank. Cuaca awal pagi amat cantik dan menjanjikan seribu harapan untuk jigging sepuas hati sebelum ‘gantung kail’ untuk sebulan lebih.
|
Gertakan awal pagi dari Spesis pemangsa bergigi tajam ini. Hanya sambaran kedua barulah Grukul Adam berjaya mendaratkannya. Mantap! |
Permukaan laut agak teduh dengan hanya alunan mesra membuai badan bot. Sebaik sahaja hon berbunyi, jig seberat 60 dan 80 gram berebut-rebut terjun ke dasar bertakat. Bunyi jatuhan jig yang indah dan bunyi karauan unjunan kekili yang merdu dan sesekali kasar akibat tidak dijaga dengan baik memenuhi ruang kesunyian pagi. Semuanya khusyuk mengunjun dengan penuh harapan.
|
Kekapas dari dasar yang terpedaya dengan aksi unjunan jig Alkap |
Tidak menunggu lama, kedengaran bunyi sentapan-sentapan padu yang diiringi oleh jeritan nyaring kekili dari arah haluan bot bergema. Pasti ada jigger yang bertuah mendapat sapaan awal dari pemghuni takat. Lumrahnya, rakan-rakan akan memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar kawalan fizikal dan rohani kepada insan yang sedang bertarung…Tidak kurang juga yang mempamirkan aksi yoga!.perihatin bah kan..hehehe
|
Satu spesis dengan ikan yang didaratkan oleh Alkap |
Kejayaan mendaratkan seekor Tenggiri di awal pagi memberi petanda baik bahawa spesis pemangsa bergigi tajam ni nampaknya banyak melakukan rondaan di sekitar takat. Tanpa berlengah, saya segera menukar assists hook salah satu set jigging saya kepada assists hook kalis gigi tajam..insuran bro..hehehe
|
Ekor Bulan menjelang lewat pagi |
Jigging diteruskan dengan kaedah berhanyut di atas permukaan takat. Kelebihan Vernon Bank adalah, takat-takatnya amat luas dan besar, tinggi serta rendah. Dasarnya juga agak cetek memudahkan penggunaan jig-jig ringan. Penggunaan set alatan aksi ringan juga mampu menambah ‘thrill’ acara jigging. Namun begitu, jerumun takat yang tebal ini juga menjadi kawasan pengkebumian para jig..hehehehe
|
Wafi Gerak Khas (A.Galak) bersama trofi yang diidamkannya. Kekecewaannya selepas rabut dipertengahan air oleh pemangsa yang degil dan bagak terubat juga dengan kehadiran Sunoh ini. |
Semangat jigging kali ini agak berlainan dari biasa kerana matlamat ‘cari lauk sahur’ itu sendiri menjadi pemangkin kepada Jiggers supaya melipatgandakan usaha jigging. Aspek teknikal juga segera diubah memandangkan Tenggiri sedang berkeliaran mencari makan. Namun begitu, pemangsa demersal masih menjadi tumpuan kepada para penggemar Sunoh dan lain-lain. Tetapi bagi saya, apa sahaja pemangsa yang merampas jig, wajar diberi penghormatan dan penghargaan kerana memberi hiburan kepada kudrat otot dan urat saraf anda. Setuju???
|
Tong Gas mini adalah penghuni tetap takat Vernon Bank. |
Menjelang hampir tengah hari ketika berhanyut di takat yang hanya berkedalaman 30 meter, tanpa sebarang amaran sambaran padu berlaku bertubi-tubi. 5 jiggers mendapat strike padu telah menyebabkan keadaan huru hara di dalam bot namun kebanyakannya berakhir dengan keluhan..alamak putus!!!!Lain kali pakai insuran bro.
|
Double hooked-up Tenggiri ketika fenzy memang menyeronokkan. |
Takat berbatu itu sedang dalam radius rondaan sang Tenggiri secara berkumpulan. Hanya Jazz yang bernasib baik berjaya mendaratkan Tenggiri hampir 7 kg tanpa sebarang perlindungan. Boleh tahan juga rezeki ‘Durex’ nya itu..hehehe..manakala saya pula berjaya mendaratkan Tenggiri dengan saiz yang sama dengan insuran assists hook kalis gigi tajam. Rakan-rakan yang lain hanya mampu mengeluh..manakala yang tiada strike pula tawa dalam tangisan..belum rezeki bro..hehehe.
|
Giliran Sang Pulut pula menjengah para Jigger sejurus sahaja Tenggiri berjaya didaratkan |
Ku sangka cerah sampai ke petang rupanya angin mulai bertiup agak kencang menjelang jam 2 petang. Langit mulai gelap disertai dengan cahaya kilat mencantikan lagi pemandangan berseni itu menyebabkan kami mulai bergerak turun. Malangnya, kami sempat menikmati terjahan ombak-ombak kasar yang memutih dan hujan lebat menyebabkan kami basah kuyup.
|
Trofi sebelum bergerak pulang |
Perjalanan yang sepatutnya tidak terlalu lama telah berusia hampir sekali ganda. Sesekali, ceruk Bot menjunam menyelam ke dalam air dengan olengannya yang mengerikan. Mujurlah tekong ceria kita Haji Nasir mengemudi bot dengan penuh ketenangan dan pengalaman. Tahniah Haji!Kami sempat bermain besi sekejap berhampiran Pulau Kuraman untuk menguji kewujudan penghuni kapal karam. Namun, tiada sambutan dan hanyutan bot juga terlalu laju akibat tiupan angin yang kencang. Akhirnya kami memilih untuk menamatkan trip ini setelah misi mencari lauk sahur berjaya..hehehe..( Tenggiri saya hampir 2 minggu menjadi hidangan sahur).,Jumpa lagi di trip akan datang..Lempayun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan