Khamis, 13 September 2018

Open table SUNOH

Kepenatan yang masih dirasai kesan 'non-stop jigging''tempoh hari tidak dihiraukan sangat apabila hasil tangkapan disediakan untuk sessi ''open table'bersama keluarga.Ikan yang masih fresh amat mudah untuk untuk diuruskan. Ikan yang juga masih segar dari ladang sememangnya menjadi idaman ramai peminat seafood.
Sunoh fresh siap siaga untuk diolah gaya seterusnya.
Setiap orang mempunyai keinginan berbeza dalam kisah penamat sesebuah trip pancingannya. Ada yang menamatkan sessi pancingannya dengan menukar ikannya kepada RM. Ada juga yang hanya mengagih-agihkan hasil tangkapannnya di kalangan kaum keluarga. Tidak terkecuali saya yang juga mempunyai cara tersendiri dalam menentukan arah tuju hasil tangkapan. 
Periuk yang ada tidak mampu menampung seekor Sunoh maka terpaksalah ia dipotong dua.
Masing-masing mempunyai alasan sendiri dalam meraikan hasil tangkapan. Saya secara peribadi lebih suka meraikan hasil tangkapan itu bersama kaum kerabat. Biasanya ikan terbesar yang berkualiti akan dipilih untuk dijadikan hidangan makan malam bersama kerabat. Jelasnya, menikmati hidangan segar bersama keluarga amat bermakna dalam mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Bahagian ekor yang penuh dengan kolagen, isi yang lembut,putih dan empuk meletakkan Sunoh menjadi antara ikan terbaik untuk dimasak steam.
Terlebih dahulu para jemputan dimaklumkan lebih awal agar mengosongkan perut bermula dari waktu petang untuk memberi ruang kepada hidangan makan malam nanti. Selalunya ikan akan dimasak kari 'kaw' ataupun steam. Jika tidak pun, ikan akan dimasak tiga rasa mengikut jenis ikan yang dijadikan juadah. Untuk Kerapu Sunoh..apalagi kaedah yang sesuai selain dari steam!
Kemuncak bagi sesebuah trip memancing yang aku lalui wajib ada sessi 'open table' bersama keluarga.tiada apa yang menyeronokkan selain melihat keluarga menikmati juadah yang disediakan hasil dari tangkapan sendiri.
kupi-kupi menjadi acara seterusnya selepas melicinkan pinggan masing-masing.Ketika itulah pengalaman semasa memancing akan dicerita semula dengan rancaknya. berbual sesama sendiri sambil menikmati kopi panas menjadikan malam yang dilalui sentiasa segar dan nostalgic. Doakan sahaja akan ada ikan yang sesuai berjaya ditangkap dalam trip akan datang untuk sessi 'open table' seterusnya.sekian.

Isnin, 10 September 2018

SUNOH VAGANZA final

hanyutan bot akan diulang di spot yang sama apabila ia sudah jauh tersasar dari takat.  Setiapkali hanyutan ulangan dilakukan, memang akan ada jigger yang akan mendapat strike. Jigging di kawasan takat yang luas, jigging hanyut selama mana pun, bot akan masih berada di kawasan takat. Kelebihannya, kita tidak tahu siapakah penghuni rumah yang sedang menanti di hadapan. Oleh itu, kejutan demi kejutan akan sentiasa berlaku. Elemen inilah yang menjadi rencah keseronokkan teknik jigging. Akan ada yang menjerit 'Fish On!' dan akan ada yang merah mata!..hehehe
antara spesis travelly yang melayan kunjungan jig di dasar. Tidak kisah apa warna jig sekalipun, asalkan rajin menurunkan jig memang peratus sambaran akan meningkat.
Tindakan yang terlalu lama membiarkan jig berada di permukaan takat  menjadi antara penyebab kejadian sangkut. Apatah lagi apabila bot berhanyut melepasi takat-takat yang padat atau tunggul tunggul tinggi. Jika tersangkut, usah biarkan terlalu lama kerana hanyutan bot akan membawa joran dan kekili anda jauh dari jig yang tersangkut di dasar. Akibatnya, anda akan kehilangan semakin banyak tali sulam. Hanya beberapa ketika diperlukan dalam usaha melepaskan jig yang tersangkut dan jika tidak berjaya, tarik saja bro!putus..tak kan bawak jig sebiji saja..habiskan semua jig di dalam kotak pancing anda kerana banyak lagi jual dikedai..hehehe..rabak poket!
Kerapu Pulut menyelitkan diri dalam kalangan kumpulan Kerapu berwarna merah yang berjaya didaratkan
Hari semakin lewat petang, tiupan angin semakin deras menyebabkan kelajuan bot yang sedang berhanyut juga meningkat. Usaha perlu digandakan  kerana jig hanya mempunyai masa yang sedikit untuk berada di permukaan takat. Anda boleh juga menukar kepada jig yang lebih berat untuk mempercepatkan jatuhan jig ke dasar. Hanya beberapa kali unjunan, jig sudah jauh meninggalkan permukaan takat. Namun, ketika itu juga ikan penghuni dasar menjadi semakin agresif. Sambaran demi sambaran meriuhkan suasana jigging di petang hari. Haji juga semakin ligat bergerak ke belakang dan hadapan bot untuk mengambil gambar pengunjun dengan ikannya. Mana Haji?lelah ka?
Hanya dua ekor Kerapu Pulut berjaya didaratkan di dalam trip ini
Pelbagai spesis ikan silih berganti menjadi trofi para pengunjun. Kerapu Sunoh masih mendominasi peratus peminat jig ketika ini. Dalam masa yang sama, beberapa orang pengunjun mengalami kejadian sangkut yang berulang akibat terlalu lama membiarkan jig berada di dasar ketika bot berhanyut agak laju. Bot yang melepasi kumpulan ikan pencukai/Titir(pencuri jig kelas satu)menyebabkan semua pengunjun segera menaikkan jig masing-masing apabila beberapa orang tiba-tiba kehilangan jig di pertengahan air..hehehe.Bukan misteri ni tapi perbuatan sekumpulan tukang gunting bro!
Jebat/Ukasha/Boh dengan trofi bernilai tinggi milikya. Set jigging baru sememangnya berbaloi  dan agaknya tangkapan hari ini dah boleh pulang modal. Senyum lebar ni orang rumah..hehehe
Keadaan permukaan takat yang berbukit bukau menyebabkan kedalaman dasar laut tidak sekata. Sekejap bot berada di atas kedalaman 20 lebih meter dan tidak lama kemudian akan melepasi kedalaman 30 lebih meter. landskap di bawah air yang berbukit bukau ini merupakan habitat ideal untuk spesis Kerapu. Saiz para penghuninya juga lebih bagak.Populasi spesis ini semakin jauh mengurang di perairan Kota Kinabalu akibat lampau tuai dengan cara yang salah. Spesis ini amat dikehendaki kerana harganya yang amat mahal di pasaran.Pemburu sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya..by hook or by crook!
Triple hooked up!
Seringkali jig yang berjaya dilepaskan dari sangkut membawa bersama serpihan karang yang masih hidup apabila dikarau naik. Ianya menunjukkan, dasar laut di kawasan ini masih kaya dengan hidupan marin. Sistem ekologi di dasaran masih belum berapa terganggu dengan pelbagai kegiatan haram. Mungkin kawasan ini dikelilingi oleh pelantar minyak dengan jalinan sistem perpaipan yang berselirat di dasar laut tidak mengizinkan kegiatan mengebom ikan seperti yang berleluasa di perairan Kota Kinabalu.Kapal-kapal pancing dan nelayan juga tidak berminat untuk berlabuh di kawasan cetek. Oleh itu, tiada labuhan sauh yang akan merosakkan struktur karang di dasar laut.

Double hooked-up Sunoh di buritan bot
Tiba-tiba jig yang diunjun oleh Fadzil disergap kasar ketika baharu saja dikarau melepasi permukaan takat. Larian pemangsa agak kencang menyebabkan kekili miliknya tidak berhenti menjerit. Pecutan yang berjaya mengurangkan separuh tali sulam di dalam gelendung kekilinya menunjukkan pemangsa kali ini bukannya kecil anak!Kami segera menaikkan jig masing-masing untuk memberinya peluang bertarung. Ruang tempur juga diberi agar beliau boleh bergerak bebas di atas bot sementara bot segera dimanuver mengejar arah larian ikan. Kerjasama ini amat berharga dalam meningkatkan peratus yang tinggi kepada pengunjun mendaratkan ikan yang sedang mengerkah jig miliknya. Jangan pentingkan diri bro. Berilah sokongan sepenuhnya kerana saat-saat sebegini akan mengukuhkan tali silaturrahim di kalangan pengunjun.
Spesis terbesar pertama yang didaratkan dalam kariernya sebagai seorang jigger! Tahniah bro..jangan tergigit kuat sangat nanti joran tu patah bro.tau laa geram...hehehe
Setelah berhempas pulas sekian lama dan nafas semakin kencang berebut keluar dan masuk melalui rongga hidungnya, kelibat pemangsa mulai kelihatan. Ketika itu, ikan masih mampu melakukan beberapa kali larian 'survival' namun dapat dikawal dengan penuh keyakinan. Pemangsa akhirnya menjadi milik peribadinya setelah disauk naik oleh Faizul, pembantu tekong yang rajin, peramah dan kuat mengusik. Ketabahannya yang rajin berjigging dan beberapa kali 'menabur' isi perut ke laut akhirnya berbayar dengan spesis terbesar di dalam trip ini. Nasib baik tiada jackpot kepala untuk ikan terbesar dan terberat.
Kerapu Sunoh penyelamat hari kapten Jazz. Tidak sia-sia 'menabur jasa' akhirnya mendapat pulangan yang lumayan. Memang sah seorang jigger kental!
Kami menamatkan trip ini kira-kira 4:27 pm apabila angin mulai bertiup dan permukaan laut semakin beralun.Peralatan segera dikemaskan dan disimpan rapi kerana perjalanan pulang pasti akan berlalu dengan kasar. Kekecewaan minggu lepas benar-benar terubat dengan kejayaan trip ini. Strike yang banyak dengan pelbagai spesis ikan menyebabkan hati tidak sabar untuk mengatur trip seterusnya.Kawasan perairan Labuan diharap akan dijaga sebaiknya oleh pihak berwajib. Pemantauan yang lebih kerap akan memastikan kegiatan haram seperti mengebom ikan, penggunaan sodium dan menunda pukat yang bukan sahaja akan memupuskan spesis ikan malahan akan memusnahkan kehidupan pelbagai spesis karang-karangan didasarnya tidak akan berlaku. Kerjasama erat perlu diwujudkan di antara pihak berwajib dengan orang awam khasnya para nelayan dan pemancing. Sekian

SUNOH VAGANZA edisi strike bertubi-tubi

08/09/2018(sabtu): Tiupan angin barat daya yang amat kencang dalam beberapa harı ini menggusarkan kami yang sememangnya menantikan tarikh ini dengan tahap gian jigging yang semakin membengkak. Tambahan pula, kegagalan meneruskan trip jigging seminggu sebelum ini menjadi episode yang jika boleh tidak mahu diulang dalam episode seterusnya. Boleh dikatakan, hampir setiap hari, beberapa kali sehari apps berkaitan cuaca akan dilayari disusuli dengan doa dan harapan.
Seperti biasa, perlu bersarapan untuk 'loading' kalori agar tidak longlai ketika berjigging sepanjang hari
Minggu lepas, kami hanya bersantai di Pulau Rusukan Besar dan Labuan, diharap biarlah kali ini kami berkerja keras menjigging di tengah lautan. Cuaca semakin pulih walaupun seawal jam 4 subuh lagi Haji menyampaikan info berkenaan hujan lebat sedang melanda wilayah persekutuan Labuan. Hujan tidak mengapa, jangan angin kencang(kata-kata semangat yang rancak memujuk hati). Kami bertolak dari rumah masing-masing dengan harapan cuaca kali ini bermurah hati memberi peluang untuk kami beraksi.
Set jigging baru yang ternyata hanyir membantu pemiliknya berada dalam kelompok kerap 'strike'. Kerajinan meningkatkan ilmu pengetahuan dan berani mencuba menjadi aset untuk menjadi antara lagenda jigging satu masa nanti
Aku dan Juan tiba di Pekan Menumbok seawal jam 6:20 pagi dan kelihatan ahli trip yang lain sudahpun tiba lebih awal. Mereka kelihatan bersemangat dan ceria untuk beraksi seolah-olah tidak sabar untuk mencampakkan jig ke dalam air. Dengan kabar, ada pemancing yang akan merasmikan set jigging baru dalam trip ini..masih bau kedai lagi ni bro..hehehe.
Rakan baru yang turut bersama memeriahkan aksi strike bertubi-tubi dalam trip ini. Beliau tidak membiarkan dirinya terus tewas dengan keadaan laut yang agak beralun.Ketabahan dan kegigihannya, memang wajar dibanggakan dan hasilnya pun mantap!
Setelah bersarapan, kami segera menuju ke jeti milik jabatan kastam. Prinsipnya konon, biarlah kami menunggu daripada ditunggu. Tapi sebenarnya...memang kami tidak sabar untuk turun berjigging ni bro..hehehehe..kantoi!!!..alahai..lambat juga bot Haji ni sampai. Tambahan lagi, langit semakin dibuka dengan sinaran cahaya matahari yang indah menyebabkan gumpalan awan gelap semakin menjauh. Memang suasana ini lah yang kami nanti-nantikan.
Ebek pertama yang menyebabkan orang sebelah merancakkan lagi aksi unjunannya
Keadaan air pasang ketika itu memudahkan kami memunggah peralatan masing-masing ke dalam bot Haji yang akan menjadi rumah kami sepanjang hari ini. Aku memilih untuk berada di hadapan kerana, goyangan bot ketika alun kuat akan mengocakkan minyak petrol di perut bot. Akibatnya, aku akan mudah pening berpunca dari bau petrol dan memang ini adalah kelemahanku sejak azali lagi.
ebek kedua yang bersaiz agak besar meningkatkan lagi semangat rakan-rakan untuk merancakkan usaha jigging dengan lebih banyak variasi
Permukaan laut agak teduh ketika melepasi muara sungai Menumbok. Namun, 10 minit melepasi perairan Labuan, alun agak besar sisa dari tiupan angin beberapa hari lepas. Beruntungnya, jarak 'swell' tidak terlalu rapat dan ianya tidak terlalu menganggu luncuran bot membelah laut. Hampir setengah jam perjalanan, Haji mempelawa kami untuk melakukan sessi pemanasan badan dengan jigging di takat berhampiran. Menurutnya, takat-takat ini biasa didiami oleh spesis demersal dan pelagik. Mari warm up bro!
memang hanyir mamat seorang ni.Mempunyai gaya tersendiri dalam aksi unjunannya yang kelihatan lebin banyak menggunakan tenaga. Maklumlah, orang muda 
Kedalaman takat hanya di antara 17 meter hingga 35 meter, mengizinkan kami menggunakan jig seberat 40-60 gram. Pergerakkan arus dan tiupan angin juga amat perlahan membantu bot berhanyut dengan perlahan di atas takat. Kondisi ini amat menyeronokkan untuk aksi jigging. Tanpa menunggu lama, kedengaran ceburan-ceburan jig bergegas menerjah permukaan laut. Memang sah, hampir kesemua jigger tidak sabar untuk beraksi. Ibarat pengantin di malam pertama!hehehe
Ustaz Sudin dengan mangsa yang meminati unjunan jig miliknya.
Aku hanya menggunakan jig seberat 40 dan 60 gram dan joran Iguana Bsmonster limited edition yang dipadankan dengan Shimano stradic 5000SW. Tali sulam Bossna Ice 12 strand 25 lb sepanjang 300 meter menjadi pilihan dalam trip ini. Perambut fluorocarbon daiwa 20 lb sepanjang 6 depa diletakkan kepercayaan jika berhadapan dengan pemangsa yang kuat membenam. Padanan alatan ini diharap dapat menahan asakan-asakan para pemangsa yang dijangka kebuluran selepas beberapa hari dilanda badai.
closed-up spesis idaman. Lausu aka emperor aka Landok memang mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi. Ia juga menjadi buruan para jigger kerana kudratnya yang sangat kuat. Lausu bersaiz baby ini banyak berkeliaran di awal musim. Bulan november dan disember adalah bulan ibubapanya bersaiz sado memunculkan diri di takat-takat perairan pantai barat Sabah
Seperti biasa, jigging di lokasi yang agak cetek dengan kaedah berhanyut memerlukan teknik 'sapu lantai' untuk mengesan spot persembunyian pemangsa. Caranya amat mudah dan hanya perlukan beberapa minit untuk mempelajarinya dan berkali-kali unjunan untuk memahirinya. Selebihnya adalah kemahiran memaksimakan keupayaan kekili dan joran serta memanipulasi fizikal jig dengan pelbagai aksi unjunan. Penggunaan setting bersaiz mikro meningkatkan peluang sambaran berbanding penggunaan alatan kasar. Cuma sahaja, peralatan mikro yang berkualiti tinggi dijual dengan harga yang agak mahal. Alah membeli, menang memakai bro.
Lesen Kerapu ekor bulan yang menceriakan wajah kapten Jazz
Memang jika sudah rezeki tidak akan ke mana bro. Perbezaannya, pengetahuan yang dikukuhkan dengan kemahiran memberi peluang untuk mendapat lebih sambaran.  Memahami dan mengetahui tabiat ikan akan mendorong pengunjun menggunakan jig dengan berat yang sesuai dan mengayakan jig mengikut selera sang pemangsa.Faktor kerajinan juga tidak boleh diketepikan begitu sahaja..ibarat kata kapten Jazz 'malas kerja tiada gaji looo'.
Rainbow Runner menyambar jig di pertengahan air. Perenang pecut ini berupaya memutuskan perambut jika tidak ditangani dengan baik.
Tanpa menunggu lama, aku merasa jig milikku dipagut sesuatu. aku segera menurunkannya kembali dan mengarau dengan lebih perlahan. Secara tiba-tiba, jig diragut kasar dan menyebabkan drag kekili yang ku set pada kekuatan 2 kg menjerit nyaring. walaupun drag kekili anda mempunyai kekuatan maksima sehingga 14 kg, sebaiknya setting drag sekuat 2 kg adalah paling selamat. Kekuatan drag sehingga 4 kg masih meletakkan 'hooked-up' anda dalam risiko tinggi untuk perambut putus, matakail terbuka dan lucut. Apatah lagi jika spesis yang menyambar jig anda dari spesis yang memiliki bibir yang lembut sepetti ebek!memang koyak!
GT yang sedang rancak memburu anak-anak ikan di pertengahan air terpedaya dengan jig Juan yang diunjun sedarhana laju dalam kawanan anak-anak ikan yang sedang frenzy
Akü yakin bahawa spesis yang menyambar jig hanya beberapa kaki dari permukaan takat adalah dari spesis travelly. Oleh itu, aku menggunakan kaedah 'softly softly' iaitu tidak terlalu memaksa. Ikan diberi peluang untuk mengeluarkan tali dari kekili dan boleh diheret apabila tali dikarau masuk. Kaedah selamat ini memang telah banyak menewaskan banyak pemangsa bagak. Namun, kaedah ini agak kurang sesuai untuk spesis penghuni lubang seperti Kerapu. Terlalu banyak tali diberi, pasti ia akan masuk ke dalam lubang..putih mata bro!Oleh itu, dapatkan maklumat dari tekong berkenaan spesis yang menghuni kordinat takat-takat yang terdapat di dalam GPS miliknya.
Otai abam KK dengan trofinya seekor Kerapu Pulut yang berkongsi takat dengan Kerapu Sunoh 
Sessi awal pemanasan badan berjaya menyaksikan beberapa spesis penghuni takat ini berjaya didaratkan. Aku berjaya mendaratkan dua ekor ebek sebagai lesen pembukaan trip jigging ini.Memang langkah kanan bro! Setelah berjigging hampir sejam dan pergerakkan ikan di dasar juga semakin senyap, Haji memecut laju bot menuju takat-takat bawah Semarang. Menurut hemat kami, takat-takat ini belum diusik oleh sesiapapun memandangkan kami adalah kumpulan pertama yang mengunjunginya selepas ribut reda. Beruntungnya kami...hehehe..
Strike spesis bernilai tinggi oleh Juan mengesahkan takat ini dihuni oleh banyak Kerapu Sunoh yang bersaiz bagak.Usaha gigih jigging tanpa mengenal penat terasa berbaloi apabila objek berwarna merah semakin menghampiri permukaan air.
Kami tiba di takat yang hanya berkedalaman 35 meter. Sejurus haji membunyikan hon menandakan jig boleh diturunkan, berebut-rebut jig menerjah masuk menembusi permukaan air. Kami tidak menanti terlalu lama apabila kedengaran jeritan 'fish on' di bahagian buritan bot. Perghhh...beberapa orang pengunjun mendapat strike serentak menyebabkan suasana riuh rendah. Unjunan diteruskan dengan harapan jig akan disergap oleh sesuatu. Hati yang berdebar kencang akhirnya beroleh respon apabila secara tiba-tiba jig ditekan sesuati dari dasar laut. Tabiat membenam dan bertahan adalah indikator jelas pemangsa adalah Kerapu. Lagipun memang sudah maklum takat ini dihuni oleh Kerapu Sunoh bagak. Jangan bagi tali bro..tahan dan cuba lakukan 'karauan curi'. Ia akan hanya menyerah apabila mulai terasa lemas.
Sunoh ini didaratkan selang beberapa minit dari kerapu Sunoh yang didaratkan oleh Juan. Ketika Juan masih bertegang otot dengan penyergap jig miliknya, aku mendapat strike padu yang menyebabkan joranku tersengguk-sengguk menyelam minum air!
Takat ini memang dihuni oleh komuniti spesis Kerapu mahal yang menjadi burdan ramai. Spesis penghuni dasar ini sering tinggal berpasangan mendiami lubang-lubang di dasar laut. Jika berjaya mendaratkan seekor, pasti anda berpotensi untuk mendapat strike seekor lagi spesis yang sama. Oleh itu,teruskan dengan unjunan perlahan. Namun, rakan-rakan yang jigging di bahagian buritan bot juga mendapat strike Kerapu Sunoh. Wahhh!..kumpulan kami seolah-olah mendapat 'jackpot' dengan kehadiran spesis mahal ini. Betul-betul Sunoh Vaganza!
Spesis dengan warna yang menawan menjadikan usaha yang gigih dengan rajin mengunjun jig berbaloi.
Hanyutan bot di takat luas ini mendorong kami untuk jigging tanpa henti. Kita tidak tahu bila bot akan melepasi pintu rumah spesis ini. Oleh itu, kami tidak mahu terlepas peluang dengan senario bot berhanyut di atas rumahnya tanpa ada jig diturunkan. Dalam trip ini, nampaknya jig berkilat silver menjadi kegemarannya. Satu demi satu Kerapu pelbagai saiz dan spesis berjaya didaratkan oleh para pengunjun. Pengunjun di haluan bot mendapat lebih banyak sambaran berbanding pengunjun di buritan bot. Kerajinan dan kegigihan menjadi kunci kejayaan memperolehi strike di takat luas ini.
Saiz yang amat cantik dan bernilai tinggi di pasaran. Kerapu bersaiz hidangan ini tidak ragu menyambar jig berkilat yang diunjun perlahan di permukaan takat.
Laut semakin teduh menjelang awal petang. Sinaran matahari juga tidak seterik tengahari tadi menyebabkan sessi jigging lebih menyeronokkan. Sememangnya ikan agak lapar setelah laut dilanda badai dalam beberapa harı. Kesukaran memperolehi makanan menyebabkan jig kami menjadi sasaran terkamannya. Anda hanya perlu membiarkan jig bemain dipermukaan takat, ianya pasti akan diterkam sesuatu..perghhhhhhhhh..memang best bro..alahai..bersambunglah pula!nantikan.

Ahad, 9 September 2018

INI CERITA SEBENARNYA aka Trip Makan angin

2 sept 2018: tiupan angin barat daya yang amat kencang telah membantutkan perjalanan bot yang mensasarkan semarang sebagai destinasi aksi jigging ringan kali ini. Ketibaan kami di pekan Menumbok seawal jam 6 pagi disambut dengan tiupan angin yang agak kuat dari laut. Perasaan mulai goyah dan merasa tidak yakin trip ini akan diteruskan.
Tangkapan bertuah oleh ahli baru ketika alun laut  mencecah 2 meter. Walau sudah berusia, namun fizikalnya masih mampu bertahan dalam aksi goyang dumang. Memang otai!!
Jelas kelihatan pokok-pokok sekitar pekan Menumbok bergoyang kuat akibat tiupan angin selaju 20/30 hingga 30/40 km/j. Tanpa disangka, trip ini diteruskan juga. Bot sukar menongkah arus dan tidak dapat bergerak laju disebabkan oleh ombak kasar. Memang sengsara apabila bot yang menghempas ke permukaan air menyebabkan para penumpangnya terhempas sama. Ibarat berada di dalam mesin basuh laundry!
lega rasanya apabila berada di permukaan yang stabil Tanpa sikit pun goyang dumang
Aku terpaksa berpaut kuat di dinding bot untuk mengelakkan hempasan bot yang berpotensi menyebabkan kecederaan tulang belakang. Terasa amat perit apabila jatuhan punggung disambut oleh permukaan fiber yang keras. Nasib baik cecair sendi masih banyak!Bot terus mengharung ombak dengan penuh kepayahan. Hasrat untuk ke Semarang terpaksa dibatalkan menyebabkan kami beralih kepada beberapa takat/spot pancing berhampiran pulau. Untuk keselamatan bro!
3 otai bersaudara di hadapan papan tanda Pulau Rusukan Besar
Dalam keadaan sukar untuk berdiri, kami mula menurunkan jig masing-masing. Badan terpaksa didakapkan ke apa sahaja struktur badan bot untuk menyerap goyangan alun bagak. Keadaan angin yang agak kencang menyebabkan bot berhanyut terlalu laju melepasi spot. Oleh itu, jig hanya mempunyai terlalu sedikit masa untuk dimainkan di atas spot.Ruang masa yang terhad ini tidak memberi peluang untuk jig dikesan oleh sebarang pemangsa. Keadaan permukaan laut yang semakin kasar menyebabkan beberapa orang pemancing mulai merasa pening..termasuk la aku.hehehehe..Otai kunun!!
Pulau yang amat cantik amat sesuai untuk berbulan madu.Mana dah amoi jepun ni haji. Tak namaak kelibat pun..hehehe?
Setelah beberapa jam jigging, Haji mencadangkan kami untuk berehat di sebuah resort yang terletak di Pulau Rusukan besar. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, kami semua bersetuju. Bot segera dipecut ke Pulau yang dimaksudkan. Lega rasanya..hehehe
pemandangan pulau yang indah menjadi penyeri episod trip jigging yang berubah tajuk ini.
Pulau yang amat cantik ini amat sesuai untuk percutian keluarga. Pantai yang putih bersih, laut yang bersih dan amat jernih serta kemudahan resort yang amat selesa menyebabkan pening yang dideritai hilang serta merta.hehehe..Di pulau ini, kami makan tengahari, berehat dan bebincang untuk aktiviti seterusnya.
Temenung/selar kuning yang banyak di bawah jeti ini. Jika ada appolo ni, pasti meriah!but strictly no fishing!
Kami sebulat suara bersetuju untuk menamatkan trip ini disebabkan keadaan cuaca yang semakin buruk. Mujurlah Haji pemilik bot seorang tekong yang sangat memahami. Beliau mencadangkan kami agar singgah di Labuan terlebih dahulu untuk ber'shopping' di kedai pancing yang berdekatan sebelum pulang ke Menumbok. Satu cadangan yang amat sukar ditolak!
barisan resort comel yang menanti kehadiran pengunjung
Kira-kira jam 1:45 pm, kami mulai bergerak menuju Pulau Labuan. Selain dari menghantar 3 orang pemancing dari Labuan, kami juga diberi kesempatan oleh Haji untuk melawat kedai pancing. Malangnya, kedai pancing terbesar di labuan tidak beroperasi dan kami hanya berpeluang untuk shopping di kedai pancing bersaiz sedarhana. Boleh lah bro..
lokasi kediaman dua buah bot yang menjadi 'rumah' kami dalam trip jigging Semarang/vernon
Hampir setengah jam kemudian, kami mulai bergerak kembali ke jeti memandangkan kelibat angin kencang dan awan gelap semakin menghampiri. Kesudian Haji menghantar kami kembali ke jeti Menumbok amat dihargai. Persefahaman yang terjalin di antara pemilik bot dan pemancing perlu sentiasa dipupuk dan disemai agar industri ini kekal dalam arena sukan memancing tanah air. Lagipun, tidak rugi untuk menghibur para pemancing memandangkan berita baik selalunya mudah diviralkan oleh para pemancing.Elemen ini sangat menguntungkan para pengusaha bot pancing..tak gitu Haji?
Melihat dan menyentuh alatan pancing dalam kedai pancing pun memadai untuk menceriakan wajah masing-masing
sempat juga menyambar sebatang rod jigging sebagai kenangan trip makan angin WP Labuan.
meninggalkan dermaga untuk kembali ke Menumbok. Jelas wajah masing-masing tidak menampakan riak kekecewaan. Tahniah kepada para Otai!
Singgah Minum air kelapa Pandan yang amat segar di Binsulok sebelum bergerak pulang
Sudah menjadi lumrah dalam dunia pancingan untuk berhadapan dan mengalami apa sahaja senario. Tidak semua trip memancing itu berjaya kerana kegagalan juga wajar menjadi sebahagian sukatan pelajaran dalam mendidik seorang pemancing untuk menjadi pemancing kental. Tidak usah merasa kecewa kerana setiap perkara tersebut pasti ada hikmahnya. Biarlah rugi sedikit asalkan keselamatan semua pemancing terjamin. Laut bukannya pergi mana pun..hehehe..akan datang pasti bertemu lagi dengan Haji yang ceria dan peramah.
Nantikan cerita trip yang mengubat trip akan angin dalam entry yang akan datang.Pasti mantap!