14/10/2015(Rabu):Selamat menyambut maal hijrah kepada pembaca
semua. Sempena maal hijrah ini, aku dan juan beraksi buat kali terakhir bertolak
dari Garaj Kg Seri Serbang. Selepas itu, bot teamlempayun akan terus bermastautin
di jeti Kg Biau Bengawan. Tahun baru dan hidup baru kepada bot teamlempayun.
|
Silhoutte yang amat cantik ketika awal subuh. Suasana indah dan nyaman begini sebenarnya sentiasa menggamitku untuk turun ke laut |
Jam 5:20 am, kami berdua singgah di stesen
minyak Petronas Bengawan untuk membeli bekalan ais dan menambah sedikit petrol.
Air sungai mulai surut ketika kami tiba di Kg Seri Serbang. Setelah bersusah
payah memunggah segala peralatan ke dalam bot yang terhalang oleh pembinaan
jeti, kami segera memecut menuju ke muara sungai.
|
Aktiviti remaja yang meluangkan masa sebegini jauh lebih bagus dari remaja yang berkurung di rumah ataupun sentiasa merayau tidak tentu hala |
Laut kelihatan teduh ketika kami tiba dan muara
sungai agak mudah dilepasi. Bekalan umpan pula tidak terlalu susah diperolehi
memandangkan bagang amat banyak yang beroperasi. Sayangnya, ikan Pusu agak
kecil dan kurang sesuai untuk umpan pancing. Ibarat menyucuk sate la ni. Rugi jika ikan tengah frenzy.
|
Berumbai@Sagai yang memberi cabaran di awal pagi |
Aksi pembukaan di Bagang atas di antara Bengawan
dan Mandahan agak sedarhana apabila hanya seekor Gerunggung dan Berumbai
berjaya didaratkan. Sesekali ikan Kerisi mencelah namun tidak dapat mengubat
kebosanan. Kami mulai berpindah ke bagang-bagang sekitarnya untuk mencuba nasib.
|
Rakan sepancingan di Lawa-Lawa |
Keadaan arus agak lemah menyebabkan kami meninggalkan
bagang untuk aksi jigging di bagang roboh sebelum bergerak ke tengah laut
mencari Lawa-lawa. Aksi jigging sampai ketiak berpeluh agak menghampakan.
Jangankan strike, missed call pun tiada. Kami mengambil keputusan untuk
bergerak ke Lawa-Lawa/Unjam.
|
Respon penghuni yang dingin meningkatkan darjah kebosanan apatah lagi dalam keadaan panas terik sebegini |
Beberapa buah bot rakan-rakan sepancingan
telahpun berada di lawa-lawa. Komen mereka berkenaan aksi culas ikan
menyebabkan semangat memancing di Lawa-lawa agak kurang. Namun, sesekali naik
juga beberapa ekor ikan Kirung-Kirung/Gerut-Gerut bersaiz lengan budak untuk
menceriakan suasana.
|
Mujurlah ada payung untuk berteduh. legaaaanyaaa.. |
Panas semakin terik apabila angin mulai berhenti bertiup. Perghhh..pijar juga rasanya. Perasaan pijar tersebut biasanya tidak akan terasa jika ikan rancak mematuk umpan. Untuk mengisi ruang kosong tersebut, aku dan Juan kerap melontar gewang tenggelam. Mana la tau ada Tenggiri melintas.
|
Tapak baru garaj bot teamlempayun di Kg Biau, Bengawan |
Jam hampir menunjukkan angka 11 pagi apabila
kami kembali semula ke bagang-bagang. Namun, sambutan penghuni dasar masih
kurang rancak. Hanya beberapa ekor Kirung-Kirung dan Kerisi mengisi tong ais.
Setelah berpindah randah dari bagang ke bagang, kami mengambil keputusan untuk
menamatkan trip ini apabila angin laut mula bertiup. Permukaan laut juga
semakin kucah. Bah pulang bro!
|
Jiran-jiran |
Aku menyinggahkan Juan dan semua peralatan di
jeti Seri Serbang. Selepas itu, aku akan meneruskan perjalanan ke Pangkalan
Sungai Biau dan Juan akan bergerak ke lokasi yang sama dengan mengggunakan
keretanya. Air sungai baharu mulai surut ketika aku tiba di lokasi baru.
Pelan-pelan laa bro. Garaj akan diusahakan tidak lama lagi.
|
Komuniti yang terdiri dari nelayan tulin dan kaki pancing. Setakat ini, aku gembira dengan lokasi baru. |
Hati mulai senang dan tenang apabila berada di
tapak baru untuk garaj bot teamlempayun. Dalam beberapa hari lagi, aku berharap
agar pembinaan garaj bot yang baharu boleh dimulakan. Aku mengucapkan ribuan
terimakasih kepada Puat Boi dan Otai/Kaka Patra kerana mempermudahkan
perjalanan hidup bot teamlempayun. Semoga Allah akan mempermudahkan perjalanan kehidupan
kalian berdua juga. Amin. Salam ikhlas dari teamlempayun