29/05/15 (Friday): trip bersama Killar Anglers
ke pelantar minyak St Joseph terpaksa diubah di saat-saat akhir disebabkan
kekangan kos. Oleh itu, takat-takat yang terletak di pertengahan jalan ke pelantar dijadikan lokasi pilihan bersesuaian dengan kos sewa yang telah dirundingkan.
Beruntung juga apabila pemilik bot sewa ini mudah diajak berunding dan amat
memahami keadaan para pemancing. Terima kasih kepada Dee Lagu
Menyediakan peralatan tempur sementara menanti kehadiran pemilik bot menghantar bekalan minyak |
Kira-kira pukul 4:15 am, aku singgah di Papar
untuk mengambil Yusri yang juga menyertai trip ini. Perjalanan diteruskan setelah semua
peralatan pancing dipunggah ke dalam pick up. Jam menunjukkan angka 6:35 am apabila kami
tiba di Kuala Abai dan kami berehat sambil menanti kehadiran Kapitan Killar Anglers bersama
rakan-rakannya. Kira-kira jam 7:15 am, Dr Juslee dan rakan tiba seraya memaklumkan
hanya kami berempat sahaja yang akan meneruskan trip ini.
Olan juga tidak ketinggalan menyertai trip ini |
Jam 8:05 am, bot pancing Dee lagu yang dijana
oleh dua buah enjin Yamaha berkuasa 40 kuda setiap satu memecut laju menuju
destinasi. 20 minit kemudian, kami tiba disekitar lubuk kapal karam dan tanpa
berlengah kami memulakan aksi jigging. Setelah hampir 30 minit rancak
berjigging tanpa sebarang strike, tekong menyarankan agar kami berpindah ke
takat tinggi kira-kira 20 minit lagi perjalanan. Kami setuju saja bro..hehehe
Singgah di kedai runcit tepi sungai membeli bekalan ais |
Untuk makluman, Lubuk kapal karam sebenarnya
sudah pun dijarah oleh para pengebom ikan. Masalah pengeboman ikan ini
sebenarnya agak serius di perairan Sabah tanpa sebarang pemantauan berkesan oleh pihak berkuasa.
Pihak penguatkuasa selama ini telah gagal sepenuhnya dalam mengekang aktiviti
haram ini. Tidak hairanlah apabila takat-takat yang terdapat di sekitar
perairan Kota Kinabalu telah musnah ibarat padang pasir gersang tanpa penghuni.
Jika perairan ini kaya dengan khazanah ikan, sudah tentu industri perkhidmatan menyewakan bot memancing akan berkembang dan sekaligus membantu para usahawan.
Latar belakang yang amat menarik |
Keadaan cuaca amat bagus, cerah dan laut yang
teduh mengujakan setiap peserta. Bot sepanjang hampir 27 kaki ini amat selesa dengan ruang yang cukup luas apabila hanya kami berempat bersedia beraksi. Tanpa berlengah, kami menurunkan jig masing-masing dengan bot selesa untuk melakukan
kaedah berhanyut. Aku merasmikan rod Maguro jigging sensation pe 08-pe 1.5
dipasangkan dengan reel shimano Nasci 3000, braided Powerpro Slick 20 lb,
perambut fluorocarbon 30 lb sepanjang sedepa setengah dan jig flasher seberat
40 gram.
Gunung Kinabalu yang berdiri megah menjadi tanda darat kepada Kuala Abai |
Pergerakan arus agak perlahan membantu jig
seberat 40 gram mencapai dasar berkedalaman 35 meter hingga 48 meter. Seperti
biasa, aku lebih selesa dengan teknik jigging perlahan yg ku gelar ‘home made
slow pitch’ dengan harapan dapat mengulang kejayaan mendaratkan Ebek juara
tempoh hari menggunakan teknik yang sama. Aku tidak terpengaruh sangat dengan gaya-gaya jigging yang sering
ditunjukkan dalam video-video atau klip video di youtube. Bagiku, masing-masing
ada gaya tersendiri dan hakimnya adalah IKAN yang terpedaya dengan jig
anda.hehehe
luas bro..sayangnya tidak terbawa pula tong ais untuk ruang kosong ini |
Hampir 20 minit berjigging, tiba-tiba joran
Poseidon Dr Juslee ditekan hebat. Pada mulanya beliau menyangka jig miliknya
bertembung dengan jig rakan lain yang sedang dikarau. Apabila tali muntah dari kekilinya tanpa henti, beliau baru menyedari bahawa jig miliknya sedang dikerkah oleh
pemangsa bagak. Kami segera menaikkan jig masing-masing dan membenarkan beliau
bertarung secara bebas. Setelah beberapa kali kekilinya memuntahkan tali,
akhirnya pemangsa dapat dihela ke permukaan air dan segera dicangkuk oleh
tekong. Tenggiri ini telah terpedaya dengan teknik slow pitching yang
dipelajarinya di Japanese Secret Angler..tahniah kapitan..tekanan buat kami.hehehe
Tenggiri ini menyambar jig di pertengahan air. Bergegar kepala lutut setelah berjaya mendaratkannya |
Kejayaan mendaratkan Tenggiri tersebut
merangsang kami untuk menggiatkan usaha. Jig seberat 40 gram hingga 80 gram
bersilih ganti diturunkan. Dalam pada itu, teknik home made ku telah berjaya
menewaskan beberapa ekor spesis demersal seperti Kerapu bara, Sagai dan Ketambak.
Kerapu bara mendominasi tangkapan melalui kaedah home made ini. Yusri yang
rajin mengarau hingga ke permukaan air juga telah berjaya menewaskan 2 ekor
titir atau alu-alu.
Sunuh KB (Kerapu Bara) menurut tekong berlambak hidup di dasar. Jika rajin memancing bottom, pasti spesis ini akan memenuhkan tong ais anda. |
Tekong juga amat rajin berpindah kembali ke atas
takat apabila arus membawa bot jauh dari takat. Memang jelas di skrin sonar
menunjukkan perbezaan kedalaman dari 45 meter ke 25 meter apabila bot
menghampiri takat tinggi. Ketika itu juga, strike berlaku dan dr Juslee lebih
banyak mengalami ‘missed call’. Olan juga beberapa kali mengalami strike yang
rabut ketika bertarung.
Double hooked up Kerapu Bara. Tekong menggelar ikan ini sebagai Sunuh KB. |
Ketika takhta kejuaraan hampir dimiliki oleh Dr
Juslee dengan tangkapan Tenggirinya, aku yang belum mahu menyerah menurunkan
jig sardin seberat 40 gram yang telah lama tidak ku aksikan. Sebaik sahaja jig
ini mencapai dasar, aku memainkannya
seketika untuk memerangkap penghuni demersal. Setelah memainkannya dalam zone 10 kaki dari dasar, teknik home
made jigging mengambil alih dan tiba-tiba jig sardin milikku direnggut kasar
ketika ia hampir melepasi pertengahan air.
Ketambak juga amat meminati jig yang dimainkan di dalam zon 10 kaki dari dasar. |
Jig seolah-olah tersangkut dan pegun. Aku melakukan sedikit sentapan dan ketika itu lah kekili Shimano Nasci menjerit nyaring tanpa henti.
Fish on bro! Pemangsa berterusan melarikan braided dan mujurlah kekili ini
telah ku isi dengan tali baru sepanjang 170 meter. Tekong yang pada mulanya
hendak mengejar larian ikan segera membatalkan niat apabila aku menyakinnya
tali sulam ini amat panjang untuk dihabiskan oleh pemangsa ini.
Yusri dengan Titir bersaiz besar yang menguasai zon pertengahan air |
Pertarungan antara pemancing dan mangsa agak dramatik. Aksi pemangsa yang berusaha untuk menyelamatkan nyawa berjaya dirakam oleh Yusri ketika aksi
pertarungan telahpun berlangsung separuh jalan. Aku agak seriau apabila
memikirkan jika pemangsa adalah spesis Tenggiri. Giginya yang super tajam mudah sahaja
mengerat putus tali kevlar 80 lb. Oleh itu, aku tetap bertahan dengan
mengharapkan kalau ia mau lepas biarlah tidak diketahui jenis dan saiz spesis.
Namun jika ia terlepas ketika menghampiri bot, memang sukar dibayangkan dengan
kata-kata tahap kekecewaan itu.hehehe
Sagai juga menjadi hakim yang menunjukkan keberkesanan teknik home made slow pitch ini |
Mimpi ngeriku menjadi kenyataan apabila pemangsa
yang bertanggungjawab menyeksa kudratku ketika ini adalah Tenggiri. Lebih menggerunkan
lagi apabila melihat saiznya yang bagak. Tenggiri Bapak ini amat garang dengan
melakukan pecutan-pecutan torpedo. Rod Maguro masih mampu menahan asakan
walaupun tahap lenturannya sesekali nampak mengerikan..patah pun patah
laaaa..banyak lagi di kedai bro.hehehe..aku mengetatkan drag kekili dari 60 %
ke tahap 70 % untuk memaksa Tenggiri menggunakan semua kudratnya agar ia cepat
kehabisan tenaga.
Lapar bro. Tenaga mesti dipulihkan sebelum menyambung aksi |
Seperti dijangka, kaedah ini berkesan apabila ia
mula keletihan dan ketika ia timbul di permukaan air buat kali kedua, Dr Juslee
segera mencangkuknya naik ke atas bot..yess!!keletihan bertarung dengan monster ini menggunakan set light jigging berakhir dengan keceriaan apabila Tenggiri bapak terbaring lesu di lantai bot. Sorry banyak-banyak kapitan..takhta ini masih menjadi milikku..hehehe..apapun, tukang cangkuk ikan
juga yang paling manang!
Kami jigging sejam lagi di takat yang sama. Ketika itu,
angin laut mula bertiup dan menyebabkan bot hanyut terlalu laju. Keadaan ini
kurang sesuai untuk jigging berhanyut dan kami mengambil keputusan untuk
menamatkan trip ini. Kira-kira pukul 1:30 pm, bot memecut laju pulang ke
pangkalan. Lagipun, tong ais besar tidak dibawa bersama. Oleh itu, risiko ikan
membusuk adalah amat tinggi. Sebelum ini berlaku, bagus pulang bro..hehehe..salam ikhlas dari Lempayun