Isnin, 13 Mac 2017

NOSTALGIA PULAU MENGALUM Edisi pertama bersama Kapten Elton

Aku mulai kenal Pulau Mengalum sejak penghujung tahun 2002 apabila aku mula menceburkan diri dalam arena pancingan laut dalam. Ketika itu, aku handa dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa Pulau mengalum adalah pusat kuarantin binatang. Kini, ia merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di ibukota. Baru-baru ini, warga Sabah dikejutkan dengan tragedi bot Catamaran yang karam ketika membawa pelancong dari China dan menyebabkan kehilangan nyawa serta mangsa yang belum pernah ditemui sehingga ke hari ini. Ianya adalah amaran kepada pihak yang sentiasa mengabaikan aspek keselamatan.
penginapan kami untuk selama 2 hari 1 malam dimiliki dan dikendalikan oleh Abang Elton serta dibantu oleh anak dan krewnya.
Dalam trip-trip memancing ke laut dalam yang pernah aku ikuti terutamanya lokasi seperti laut Sejali dan Karang-Karang, singgah memancing di sekitar Pulau Mengalum adalah sesuatu yang sangat istimewa. Takat-takat di sekitar Pulau Mengalum menyajikan pelbagai spesis ikan berkualiti untuk pancingan siang hari dan spesis bersaiz bagak yang meronda pada waktu malamKebolehan tekong kapal mengesan takat dan cara efektif melabuhkan kapal di kawasan takat menjamin suasana pancingan yang meriah dengan strike. Ikan bersaiz dibawah 5 kilo amat mudah diperolehi manakala penggunaan umpan fresh bersaiz besar pasti akan mengundang kehadiran pemangsa bagak.
Berlepas dari jeti Jabatan Laut Sabah Sepanggar, Kota Kinabalu
Baru-baru ini, 11 mac 2017, aku telah menyertai sebuah trip kumpulan pemancing berorientasikan santai yang menjadikan lokasi takat sekeliling Pulau Mengalum sebagai medan pancingan. Aku agak teruja kerana berdasarkan pengalaman lepas, takat-takat Pulau Mengalum juga tidak kurang hebatnya. Aku juga mengetahui kebanyakan takat-takat di sini hanya berkedalaman di bawah 50 meter. Oleh itu, aku hanya membawa set pancing dasar kelas ringan dan satu set light jigging. Walau bagaimanapun, aku juga tidak meninggalkan satu set khas untuk kedalaman di bawah 120 meter (just in case bro..hehehe).
Alahai..sampah sarap di permukaan laut yang menjejaskan panorama indah teluk Sepanggar
Apa dia set memancing dasar kelas ringan?
Ok, set memancing kelas ringan milikku hanyalah sebuah reel spinning bersaiz 4000 (shimano Navy PowerGear..old model) yang diisikan dengan tail sulam bersaiz 30 lb (jenama stren) serta joran jigging generasi awal sepanjang lebih kurang 5 kaki(Relix butt-joined jigging rod Pe 1-Pe3). Joran jangan terlalu panjang kerana beban angkatan akan berada jauh dari badan kita. Akibatnya, tangan dan bahu cepat lenguh ketika menahan asakan ikan.  Set seringan yang dilengkapkan dengan kaedah paternoster ini adalah kewajiban kepadaku jika purata kedalaman takat sehingga dibawah 70 meter. 
Bersama Fadly, penganjur trip yang sentiasa gigih meningkatkan ilmu memancing. Beliau amat berpotensi besar menjadi seorang pemancing otai yang akan dikenali ramai suatu masa nanti.
Kenapa aku gemar menggunakannya?
Penggunaan set pancingan ringan ini boleh dikatakan banyak membantu meninggikan degree kejayaan trip pancingan anda. Pada kedalaman laut di bawah 50 meter, set pancing kelas ringan amat efektif kerana ianya amat mudah dikendalikan, pantas, cekap dan menyeronokkan. Set ringan juga sentiasa boleh dipegang dan amat sensitif terhadap sebarang getuan di dasar laut. Sentapan mendadak dan karauan bertenaga dengan mudah boleh dilakukan. Oleh itu, kepantasan adalah senjata utama apabila berada di atas takat yang dihuni oleh pelbagai spesis ikan bersaiz di bawah 3 kg. Kepantasan juga amat penting ketika ikan sedang frenzy. Strike ikan lebih berat dari itu adalah bonus untuk keseronokkan melayan kudrat ikan disamping menguji kemahiran anda menikmati larian dan benaman ikan serta pengendalian alat anda. Memang berasap kekili apabila dihenjut oleh Lausu/Empror seberat 5 kg hingga 7 kg bro!!Untuk rekod, aku pernah memenuhkan tong coleman biru hanya dengan menggunakan set pancingan ringan.
Bro Jeff, pemancing tegar yang berasal dari Sarawak. Selain dari ketahanan memancing dalam apa saja keadaan cuaca, beliau juga adalah seorang yang amat mesra dan peramah. Aku sangat gembira berkenalan dengan beliau yang sememangnya energizer!
Kira-kira jam 2:40 pm, kami tiba di takat yang hanya berkedalaman 40 meter berhampiran Pulau Mengalum. Sebelum itu, kehadiran kami disambut mesra dengan tiupan angin utara yang sejuk dan agak kuat. Permukaan laut mulai membengkak dengan alun dan bunga-bunganya(bungalapang). Kapal beroleng dengan agak kuat ketika sauh diturunkan secara manual. Namun, semangat tetap membuak-buak untuk menurunkan umpan. Detik demi detik berlalu, umpan tidak disentuh dan aksi agak senyap sehinggalah bot berpindah beberapa kali tanpa ada tangkapan yang boleh dijadikan cerita kedai kopi. Angin utara semakin kencang ketika aku bergerak masuk ke dalam kabin akibat tidak tahan dengan suhu sejuk dan rasa yang agak kurang selesa akibat olengan kapal yang semakin rancak. Aku membaringkan badan sambil menikmati goyang dumang dan mula mengimbau kenangan lama aksi pancingan di takat-takat sekitar Pulau Mengalum bersama rakan-rakan lama. Kenangan yang sentiasa segar bersama kåpål pancing Aloha, Seastar, KK Law, Kapal besi, kapal kayu belian dan lain-lain lagi hampir 20 tahun lampau.
Aku bersua lagi dengan Pulau Mengalum yang memang telah menjadi sebahagian penting dalam dunia pemancingan ku sejak sekian lama. Pulau yang sentiasa menggamit kenangan.
Ketika itu, pelbagai spesis ikan amat mudah didaratkan. Pelbagai spesis ikan Kerapu, ikan-ikan takat seperti Pisang (ikan mentua), emperor(Lausu), Tambak, kirung Tengiri, pelbagai spesis ikan Ayam Laut/Jebong, pelbagai spesis ikan Putih dan Merah dan lain-lain ketika pancingan siang dan spesis bagak seperti Keratang, Tambong/Jenahak, Red Bass/Berahan/Marungan, Tenggiri, Alu-alu/Titir ketika pancingan malam pada kedalaman di bawah 70 meter sahaja. Ke mana laa agaknya mereka semua tu ya?
Satu-satunya Berahan/Red Bass yang berjaya didaratkan dalam trip ini. Ianya muncul apabila jam menunjukkan angka 4:17 am, ketika angin barat mulai bertiup membawa bersama hujan renyai yang kemudiannya bertukar lebat (maaf kualiti gambar agak kurang disebabkan kapal yang asyik bergoyang dumang..hehehe)
Para penghuni takat-takat di sekitar Pulau Mengalum memang sudah lama menghilang disebabkan pelbagai faktor antaranya seperti pancingan berlebihan/over-harvested dan penggunaan bom ikan dan racun. Kawalan pihak berkuasa yang amat longgar terhadap sebarang aktiviti di area ini mengakibatkan ketandusan penghuni takat-takat tersebut tidak seperti kemewahan 10 atau 20 tahun yang lampau. Apapun, aku masih enjoy dengan trip ini.    
Jigging di awal pagi hanya mampu menarik minat spesis anjang-anjang bermulut kecil.
Aku keluar dari kabin dan memulakan aksi pancingan subuh. Tidak sampai 10 minit, aku berjaya mendaratkan seekor Red Bass/ Berahan. Selanjutnya, beberapa ekor lagi anak ikan Lausu terpedaya dengan umpan hirisan basung dan sotong. Ketika sedang rancak memancing, angin barat bertiup bersama dengan hujan sekali,alahai..kembali ke kabin lagi!.Tak tahan sejuk bro!perghhh suhu sejuk terasa hingga ke sum-sum!..hujan terus turun lebat merangsang kenangan-kenangan lalu kembali menggamit perasaan. Satu demi satu wajah-wajah rakan sepemancingan melintas dibenak. Agaknya ada yang masih aktif lagi ataupun tidak?
Kapal abang Elton. Apa lah agaknya kotak putih yang berada di buritan kåpål tu ya? hehehe.silalah PM untuk dapat jawapan..hehehe
Hujan mulai reda dan kami kembali menyambung aksi pancingan di beberapa buah takat lagi.  Namun, semua takat-takat tersebut juga tidak memberi sambutan terhadap persembahan kami. Tekong, Abang Elton mencadangkan kami menamatkan trip supaya kami tidak terlalu lewat tiba ke jeti. Kapal milik Abang Elton bergerak menuju Kota Kinabalu dengan kelajuan 7 knot. 
Home made rod holder. Pemancing sentiasa kreatif dalam menambahkan aksesori memancing yang biasanya dijual terlalu mahal di kedai pancing. Boleh tempah kah ni bro?

Kesimpulannya, kejayaan sesebuah trip itu bukanlah terletak semata-mata kepada jumlah hasil tangkapan yang banyak. Ukuran itu boleh diluaskan lagi kepada kejayaan kembali pulang ke jeti dengan selamat, perasaan enjoy dan puas ketika memancing di kapal, mendapat kenalan baru serta berkongsi dan bertukar-tukar ilmu pengetahuan. Kejayaan sebenar adalah apabila aktiviti memancing berterusan sehingga bila-bila dengan menyaksikan kemunculan para pemancing baru yang lebih berhemah dan mapan. Sekian. Salam ikhlas dari Lempayun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan