Jumaat, 18 Mei 2018

OUTSKIRTS OF VERNON BANK PART 2

12/05/2018(Sabtu): Berlangsung trip eksplorasi yang telah dirancang sejurus berakhirnya trip pengenalan Vernon Bank tempoh hari. Semangat berkobar-kobar di kalangan ahli trip ini amat ketara dengan kehadiran lebih awal ke lokasi pertemuan di Restoran Pulut Panggang Batton. Sarapan untuk alas perut dulu agar sessi jigging tidak diganggu oleh bunyi yang tidak menyenangkan dari dalam perut. Selain daripada itu, sarapan juga penting untuk membekalkan tenaga ketika jigging nanti.
Khusyuk menyediakan peralatan masing-masing. 
Kami bergerak ke jeti kastam 10 minit sebelum jam 7 pagi dan tidak lama kemudian kelibat bot yang dikemudikan oleh haji Nasir muncul dari kaki langit. Cuaca juga agak sedarhana cantik apabila melihat nun kejauhan awan gelap pekat sedang berarak sarat mengandung air. Rasa gusar agak kurang kerana sememangnya keadaan laut agak teduh dengan kelajuan angin hanya 10-20 km. Hujan tidak mengapa bro asal jangan angin ribut.

Sunoh pertama ustaz Sudin selepas hujan berhenti. Tumpuan permainan jig di permukaan takat berpotensi mengundang terpaan sebarang spesis Kerapu.
Pecutan bot dengan kelajuan 50-51km sejam meninggalkan daratan jauh sayup di belakang. Perjalanan ini juga diisi dengan sessi menyiapsiagakan peralatan tempur masing-masing. Ramalan tempoh masa pergerakan arus yang cantik di awal pagi hingga ke tengahari perlu dipergunakan sebaiknya. Sessi jigging sepenuhnya akan dipraktikkan secara maksimum tanpa kompromi.
Pendatang baru dunia jigging dengan trofi Sunoh pertama dalam hidupnya. Tiada istilah 'hijau' dalam dunia jigging ini asalkan rajin menimba ilmu dan bereksperimentasi.
Emosi kami yang telah diracuni oleh tanggapan eksplorasi ke bahagian lain tepian Vernon pasti dinantikan oleh para pemangsa kebulur jig menjadi visi penuh harapan. Hakikatnya, laut yang sangat luas dengan dasarannya dipenuhi oleh takat-takat yang bertaburan pasti menjanjikan sesuatu yang hebat kepada kami. Selepas setengah jam perjalanan, bot mula menempuhi zon awan gelap. Awan gelap di kiri dan kanan kami membentuk lorong yang menuju terus ke tepian Vernon yang kelihatan cerah dengan sinaran cahaya. 
Kerapu Pulut/Kerapu Putih menjadi spesis kedua keluarga Kerapu yang berjaya didaratkan oleh ustaz Sudin. Jig miliknya memang hanyir dalam trip ini.

Bot terus gagah menongkah alun yang tercipta kesan dari tiupan angin Barat Daya.  Kami yang duduk di haluan terpaksa bergerak ke dalam kabin untuk berlindung dari percikan air laut serta tempias hujan. Aku tidak kisah sangat dengan hujan turun lebat sekalipun asalkan tiada angin kencang dan guruh berdentum. Berdasarkan pengalaman, dentuman guruh pasti akan menyebabkan ikan di dasaran menjadi pasif. Hal ini pernah aku lalui beberapa kali semenjak bergiat dalam arena pancingan laut dalam sekian lama.
Adam/ABA juga berjaya mendaratkan Kerapu Pulut di takat yang sama
Kami tiba di lokasi pertama pada kedalaman takat 30-40 meter dengan pergerakan arus yang amat cantik. Sessi jigging dimulakan dalam keadaan cuaca mendung sejurus bot berhenti tepat di lokasi. Tidak sampai 10 minit jigging tanpa sebarang sambaran, bot bergerak lagi ke lokasi terdekat. Jig seberat 40-60 gram menjadi taruhan para pengunjun dengan teknik 'sapu lantai'. Jigging secara berhanyut memang menjadi pilihan untuk mengeledah keberadaan para penghuni takat dalam radius yang lebih luas.
Spesis ketiga keluarga Kerapu yang menjadi koleksi Ustaz  Sudin dalam trip ini. Kerapu ini melengkapkan koleksi tiga spesis dalam keluarga Kerapu.
Kali ini, aku bernasib baik apabila jig asuka 60 gm disambut padu hanya selepas beberapa kali karauan. Tekanan yang dirasai agak berlainan dari lenggok sang Kerapu. Ianya agak liar dan sesekali melakukan benaman padu. Setelah seketika, rontaan pemangsa berjaya dikawal dan ia mula diseret naik menghampiri bot. Sesekali ia cuba melakukan henjutan ke kiri dan kanan dalam usaha melepaskan diri namun masih gagal. Ketika Haji Nasir bersedia dengan sauknya dan kelibat pemangsa mulai kelihatan di bawah permukaan air, aku dikhianati oleh perambut fluorocarbon yang mungkin telah cedera tanpa disedari. Akibatnya pemangsa yang kelihatan seperti Ikan Sagai/ Balung anggaran 3-4 kg terlepas begitu sahaja. Bukan rezeki bro....hehehe..dalam hati ada pedih ooo..
Balung/Sagai melengkapkan kejayaan Ustaz Sudin dalam trip ini. Walaupun masih baru dalam arena ini, kelemahan dan kekurangan berjaya ditutup dengan kerajinannya jigging tampa menghiraukan keadaan cuaca. Mantap!
Kira-kira pada pukul 10 pagi, hujan lebat mulai menghampiri kami dari kiri dan kanan. Permukaan laut mulai membengkak dengan alun bersilih ganti. Keselesaan dan keseronokkan jigging mulai terhakis dalam kondisi laut dan cuaca yang amat tidak mesra. aku cuba bertahan namun tewas apabila pakaian yang basah disejukkan oleh tiupan angin yang deras. Aku berhenti apabila lutut mulai mengigil dan segera berlindung di dalam kabin. Dalam keadaan cuaca sebegitu, Ustaz Sudin meneruskan perjuangannya secara solo di haluan bot tanpa menghiraukan hujan dan terpaan angin kencang. Bot mulai berhanyut dengan laju disebabkan tolakan angin yang agak kuat. Akibatnya, jig yang diturunkan melayang jauh dari bot ibarat bermain layang-layang. Seorang demi seorang jigger mulai berehat. Tidak tahan sejuk bro...hehehe. seperkara lagi, hal yang saya risaukan berlaku juga. Ruang langit dipenuhi dengan dentuman guruh yang mengegar. Aku yakin, pasti ikan juga akan menjadi pasif..alahai..nasib...nasib.
Segan mau ulas.hehehehe
Hujan mulai reda dan angin pun berhenti bertiup. Permukaan laut juga semakin teduh dengan sedikit saki baki alun yang melambung badan bot. Sessi jigging disambung semula. Sayangnya, pergerakan arus mulai deras memaksa kami menukar jig kepada berat 80-100 gram. Kerancakan jigging hanya sesekali dihiburkan oleh beberapa orang rakan yang berjaya mendapatkan sambaran. Jigging berpindah randah tanpa sambaran mega mengiyakan tanggapan kehadiran guruh tadi telah menyebabkan ikan menjadi pasif. Walau bagaimanapun, jigging tetap diteruskan tanpa kenal penat kerana sessi trip ini mulai menghampiri masa-masa 'kecedaraan'.
Catch of the day kapten Jazz. Tangkapan yang berjaya menyelamatkan harinya. Hebat sungguh dugaan jigging dalam trip ini. 

Kami menamatkan trip ini di takat berkedalaman hanya 25 meter. Pergerakan arus mulai perlahan dan akan mati sekejap lagi. Jig segera ditukar kepada berat 40 gram dan teknik sapu lantai masih menjadi sändaran. Di takat ini, beberapa rakan telah berjaya mendaratkan tangkapan yang agak memuaskan. Sehingga ke minit-minit akhir, strike mega yang sentiasa dinantikan tidak kunjung tiba. Jelasnya, strike mega tidak muncul dalam trip ini dan semoga ianya akan muncul berganda-ganda banyaknya dalam trip akan datang.
Sessi bergambar berbaur politik.hehehe.Kita jumpa lagi dalam trip yang akan datang
Kesimpulannya, aspek kepuasan dalam arena jigging bukanlah bermotifkan jumlah tangkapan  yang banyak semata-mata. Pengalaman yang diperolehi, kemesraan dan keharmonian sesama ahli trip, suasana jigging menyeronokkan adalah rasa gembira yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Manakala, strike ikan hanyalah hadiah atau bonus kepada ahli trip yang rajin, kental dan sentiasa positif. Justeru itu, kapten Jazz diamanahkan untuk mengatur lagi yang akan datang.hehehehe.












2 ulasan: