Isnin, 13 Mac 2017

NOSTALGIA PULAU MENGALUM Edisi pertama bersama Kapten Elton

Aku mulai kenal Pulau Mengalum sejak penghujung tahun 2002 apabila aku mula menceburkan diri dalam arena pancingan laut dalam. Ketika itu, aku handa dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa Pulau mengalum adalah pusat kuarantin binatang. Kini, ia merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal di ibukota. Baru-baru ini, warga Sabah dikejutkan dengan tragedi bot Catamaran yang karam ketika membawa pelancong dari China dan menyebabkan kehilangan nyawa serta mangsa yang belum pernah ditemui sehingga ke hari ini. Ianya adalah amaran kepada pihak yang sentiasa mengabaikan aspek keselamatan.
penginapan kami untuk selama 2 hari 1 malam dimiliki dan dikendalikan oleh Abang Elton serta dibantu oleh anak dan krewnya.
Dalam trip-trip memancing ke laut dalam yang pernah aku ikuti terutamanya lokasi seperti laut Sejali dan Karang-Karang, singgah memancing di sekitar Pulau Mengalum adalah sesuatu yang sangat istimewa. Takat-takat di sekitar Pulau Mengalum menyajikan pelbagai spesis ikan berkualiti untuk pancingan siang hari dan spesis bersaiz bagak yang meronda pada waktu malamKebolehan tekong kapal mengesan takat dan cara efektif melabuhkan kapal di kawasan takat menjamin suasana pancingan yang meriah dengan strike. Ikan bersaiz dibawah 5 kilo amat mudah diperolehi manakala penggunaan umpan fresh bersaiz besar pasti akan mengundang kehadiran pemangsa bagak.
Berlepas dari jeti Jabatan Laut Sabah Sepanggar, Kota Kinabalu
Baru-baru ini, 11 mac 2017, aku telah menyertai sebuah trip kumpulan pemancing berorientasikan santai yang menjadikan lokasi takat sekeliling Pulau Mengalum sebagai medan pancingan. Aku agak teruja kerana berdasarkan pengalaman lepas, takat-takat Pulau Mengalum juga tidak kurang hebatnya. Aku juga mengetahui kebanyakan takat-takat di sini hanya berkedalaman di bawah 50 meter. Oleh itu, aku hanya membawa set pancing dasar kelas ringan dan satu set light jigging. Walau bagaimanapun, aku juga tidak meninggalkan satu set khas untuk kedalaman di bawah 120 meter (just in case bro..hehehe).
Alahai..sampah sarap di permukaan laut yang menjejaskan panorama indah teluk Sepanggar
Apa dia set memancing dasar kelas ringan?
Ok, set memancing kelas ringan milikku hanyalah sebuah reel spinning bersaiz 4000 (shimano Navy PowerGear..old model) yang diisikan dengan tail sulam bersaiz 30 lb (jenama stren) serta joran jigging generasi awal sepanjang lebih kurang 5 kaki(Relix butt-joined jigging rod Pe 1-Pe3). Joran jangan terlalu panjang kerana beban angkatan akan berada jauh dari badan kita. Akibatnya, tangan dan bahu cepat lenguh ketika menahan asakan ikan.  Set seringan yang dilengkapkan dengan kaedah paternoster ini adalah kewajiban kepadaku jika purata kedalaman takat sehingga dibawah 70 meter. 
Bersama Fadly, penganjur trip yang sentiasa gigih meningkatkan ilmu memancing. Beliau amat berpotensi besar menjadi seorang pemancing otai yang akan dikenali ramai suatu masa nanti.
Kenapa aku gemar menggunakannya?
Penggunaan set pancingan ringan ini boleh dikatakan banyak membantu meninggikan degree kejayaan trip pancingan anda. Pada kedalaman laut di bawah 50 meter, set pancing kelas ringan amat efektif kerana ianya amat mudah dikendalikan, pantas, cekap dan menyeronokkan. Set ringan juga sentiasa boleh dipegang dan amat sensitif terhadap sebarang getuan di dasar laut. Sentapan mendadak dan karauan bertenaga dengan mudah boleh dilakukan. Oleh itu, kepantasan adalah senjata utama apabila berada di atas takat yang dihuni oleh pelbagai spesis ikan bersaiz di bawah 3 kg. Kepantasan juga amat penting ketika ikan sedang frenzy. Strike ikan lebih berat dari itu adalah bonus untuk keseronokkan melayan kudrat ikan disamping menguji kemahiran anda menikmati larian dan benaman ikan serta pengendalian alat anda. Memang berasap kekili apabila dihenjut oleh Lausu/Empror seberat 5 kg hingga 7 kg bro!!Untuk rekod, aku pernah memenuhkan tong coleman biru hanya dengan menggunakan set pancingan ringan.
Bro Jeff, pemancing tegar yang berasal dari Sarawak. Selain dari ketahanan memancing dalam apa saja keadaan cuaca, beliau juga adalah seorang yang amat mesra dan peramah. Aku sangat gembira berkenalan dengan beliau yang sememangnya energizer!
Kira-kira jam 2:40 pm, kami tiba di takat yang hanya berkedalaman 40 meter berhampiran Pulau Mengalum. Sebelum itu, kehadiran kami disambut mesra dengan tiupan angin utara yang sejuk dan agak kuat. Permukaan laut mulai membengkak dengan alun dan bunga-bunganya(bungalapang). Kapal beroleng dengan agak kuat ketika sauh diturunkan secara manual. Namun, semangat tetap membuak-buak untuk menurunkan umpan. Detik demi detik berlalu, umpan tidak disentuh dan aksi agak senyap sehinggalah bot berpindah beberapa kali tanpa ada tangkapan yang boleh dijadikan cerita kedai kopi. Angin utara semakin kencang ketika aku bergerak masuk ke dalam kabin akibat tidak tahan dengan suhu sejuk dan rasa yang agak kurang selesa akibat olengan kapal yang semakin rancak. Aku membaringkan badan sambil menikmati goyang dumang dan mula mengimbau kenangan lama aksi pancingan di takat-takat sekitar Pulau Mengalum bersama rakan-rakan lama. Kenangan yang sentiasa segar bersama kåpål pancing Aloha, Seastar, KK Law, Kapal besi, kapal kayu belian dan lain-lain lagi hampir 20 tahun lampau.
Aku bersua lagi dengan Pulau Mengalum yang memang telah menjadi sebahagian penting dalam dunia pemancingan ku sejak sekian lama. Pulau yang sentiasa menggamit kenangan.
Ketika itu, pelbagai spesis ikan amat mudah didaratkan. Pelbagai spesis ikan Kerapu, ikan-ikan takat seperti Pisang (ikan mentua), emperor(Lausu), Tambak, kirung Tengiri, pelbagai spesis ikan Ayam Laut/Jebong, pelbagai spesis ikan Putih dan Merah dan lain-lain ketika pancingan siang dan spesis bagak seperti Keratang, Tambong/Jenahak, Red Bass/Berahan/Marungan, Tenggiri, Alu-alu/Titir ketika pancingan malam pada kedalaman di bawah 70 meter sahaja. Ke mana laa agaknya mereka semua tu ya?
Satu-satunya Berahan/Red Bass yang berjaya didaratkan dalam trip ini. Ianya muncul apabila jam menunjukkan angka 4:17 am, ketika angin barat mulai bertiup membawa bersama hujan renyai yang kemudiannya bertukar lebat (maaf kualiti gambar agak kurang disebabkan kapal yang asyik bergoyang dumang..hehehe)
Para penghuni takat-takat di sekitar Pulau Mengalum memang sudah lama menghilang disebabkan pelbagai faktor antaranya seperti pancingan berlebihan/over-harvested dan penggunaan bom ikan dan racun. Kawalan pihak berkuasa yang amat longgar terhadap sebarang aktiviti di area ini mengakibatkan ketandusan penghuni takat-takat tersebut tidak seperti kemewahan 10 atau 20 tahun yang lampau. Apapun, aku masih enjoy dengan trip ini.    
Jigging di awal pagi hanya mampu menarik minat spesis anjang-anjang bermulut kecil.
Aku keluar dari kabin dan memulakan aksi pancingan subuh. Tidak sampai 10 minit, aku berjaya mendaratkan seekor Red Bass/ Berahan. Selanjutnya, beberapa ekor lagi anak ikan Lausu terpedaya dengan umpan hirisan basung dan sotong. Ketika sedang rancak memancing, angin barat bertiup bersama dengan hujan sekali,alahai..kembali ke kabin lagi!.Tak tahan sejuk bro!perghhh suhu sejuk terasa hingga ke sum-sum!..hujan terus turun lebat merangsang kenangan-kenangan lalu kembali menggamit perasaan. Satu demi satu wajah-wajah rakan sepemancingan melintas dibenak. Agaknya ada yang masih aktif lagi ataupun tidak?
Kapal abang Elton. Apa lah agaknya kotak putih yang berada di buritan kåpål tu ya? hehehe.silalah PM untuk dapat jawapan..hehehe
Hujan mulai reda dan kami kembali menyambung aksi pancingan di beberapa buah takat lagi.  Namun, semua takat-takat tersebut juga tidak memberi sambutan terhadap persembahan kami. Tekong, Abang Elton mencadangkan kami menamatkan trip supaya kami tidak terlalu lewat tiba ke jeti. Kapal milik Abang Elton bergerak menuju Kota Kinabalu dengan kelajuan 7 knot. 
Home made rod holder. Pemancing sentiasa kreatif dalam menambahkan aksesori memancing yang biasanya dijual terlalu mahal di kedai pancing. Boleh tempah kah ni bro?

Kesimpulannya, kejayaan sesebuah trip itu bukanlah terletak semata-mata kepada jumlah hasil tangkapan yang banyak. Ukuran itu boleh diluaskan lagi kepada kejayaan kembali pulang ke jeti dengan selamat, perasaan enjoy dan puas ketika memancing di kapal, mendapat kenalan baru serta berkongsi dan bertukar-tukar ilmu pengetahuan. Kejayaan sebenar adalah apabila aktiviti memancing berterusan sehingga bila-bila dengan menyaksikan kemunculan para pemancing baru yang lebih berhemah dan mapan. Sekian. Salam ikhlas dari Lempayun.

Ahad, 26 Februari 2017

Musuh tersembunyi

Assist hook perlu rajin dibasuh selepas digunakan agar garam laut tidak melekat dan perlahan-lahan memakan matakail stainless tanpa anda sedari. Jika anda tidak waspada akan hal ini, ianya pasti akan mengecewakan apabila jig anda dikerkah para penggemarnya.

Ahad, 19 Februari 2017

Sekian lama tidak melayan NANGGALAH (Udang Galah) 2017

18/02/17(sabtu): Memang terlalu lama aku tidak merasa jentikkan dan lantunan gostan sang Nanggalah yang amat mengasyikkan jika dilayan menggunakan set ultra ringan. Kesempitan masa, keadaan cuaca yang tidak sesuai dan keinginan lebih kepada aksi laut adalah antara faktor yang menyebabkan sessi mengail Nanggalah ditunda terlalu lama.
Double hooked up bro..perghhh kelam kabut juga apabila dua daripada 6 batang joran yang diturunkan menerima respon segera dari penghuni dasar
Akhirnya, aku punya kesempatan untuk memenuhi keinginan ini apabila keadaan laut masih bergelora dilanda angin kencang menyebabkan sebarang aktiviti laut terpaksa dihentikan buat sementara. Permit pun ok dan air sungai pun cantik setelah hampir dua minggu tidak dilanda hujan. So, ke mana kita ni? sungai Klias laa broö!!
Impian ipar yang juga telah sekian lama menyimpan hajat untuk beraksi di Sungai Klias akhirnya termakbul apabila seekor Nanggalah bersaiz Sado menyahut cabarannya.hehehe
Seawal subuh aku dan ipar bergerak ke tebingan sungai Padas untuk mendapatkan umpan RAMEN(cacing sungai) yang sangat mudah diperolehi disepanjang tebingan sungai. Percuma saja bro, cuma perlu kerja keras sikit laaa. 'Warm up' awal pagi sebelum berentap dengan Nanggalah amat perlu agar tidak kekok ketika beraksi dalam bot nanti.

Pada mulanya aksi agak bertagar(berkarat) dengan pergerakan terlalu perlahan ketika mengumpan dan menyediakan peralatan. Tidaklah sepantas ketika masih remaja dulu bro.hehehe..hanya skil menundukkan Nanggalah Sado sahaja yang masih berbisa..hehehe
Kira-kira jam 7:30 am, kami mula bergerak ke Kota Klias untuk bertemu dengan pemilik bot iaitu Encik SAIFUL. Beliau memiliki beberapa buah bot untuk disewa. Cuma, hanya bot sahaja bro, enjin bawa sendiri ya. Jika sanggup guna pendayung....pun boleh bro.hehehe..beliau boleh dihubungi di talian  berikut 0178195865. Beliau juga adalah seorang yang mesra dan ringan tangan menolong memunggahkan peralatan ke dalam bot. Terimakasih banyak encik Saiful.
Lama tidak ketemu Nanggalah bersaiz SADO sebegini. Set pancing ultra ringan, tangsi dan perambut hanya bersaiz 8 lb, matakail saiz 6 dan umpan diturunkan hanya di bawah kolong(bawah bot)..memang pertempuran yang amat mengasyikkan!!
Keadaan air sungai masih surut ketika kami tiba. Aku menggunakan khidmat Tohatsu 8hp yang dimiliki sejak 2007 lagi. Pejam celik tidak sedar dah 10 tahun umur enjin milikku ini..hehehe..masih steady lagi. Jelasnya, jangka hayat memang panjang jika kita rajin servis. Apalagi bro, kami bergegas menghilir sungai mencari Nanggalah.
Tengah berposing satu lagi joran disentap Nanggalah...alahai memang respon Nanggalah tengah galak ketika air mula bergerak pasang
Aku dapati sungai Klias tidaklah sedalam 20 tahun yang lalu. Kebanyakan lubuk-lubuk yang pernah aku jelajahi dahulu agak dalam dan menyeramkan. Tetapi kini, memang ketara sungai Klias semakin cetek. Populasi udang pun semakin berkurangan dan untuk mendapatkan tangkapan melebihi 4 kilo, anda perlu mahir membaca keadaan cuaca dan air untuk mengesan kedudukan udang.
Seekor lagi Nanggalah Sado dari bawah kolong. Menurut pendapat otai-otai Nanggalah Klias, mulut berbuih udang tanda galaknya menyelongkar dasaran sungai mencari makan.
Namun, jika sekadar untuk melepas gian, enjoy dan mencari lauk makan..bila-bila masa bro. Janji rajin dan berkemahuan. Walaupun begitu, rezeki ditangan Tuhan. Kalau dah rezeki, memang meriah juga pancingan udang kami dalam trip ini.hehehe...Nanggalah pun sado-sado belaka!
Hasil pancingan ipar
Panas tidak sampai ke petang apabila hujan lebat melanda kira-kira jam 3.30 pm. Walaupun begitu, sambutan Nanggalah dari dasar sungai tetap meriah. Agaknya labuhan bot kami ngam-ngam di lokasi perkumpulan Nanggalah.hehehehe. Walau bagaimanapun, hati tetap risau apabila sesekali dentuman guruh diiringi oleh kilat memancar..alamak..bahaya ni bro...hehehe.Hujan masih lebat sehinggalah kami menamatkan trip ini kira-kira jam 4:50 pm. Kami menggigil kesejukan dan mengemas peralatan dalam keadaan basah kuyup dan tapak tangan yang kecut. 
hasil pancingan lempayun dalam trip ni. Syukur laa..ada juga lauk makan malam ni.hehe
Kesimpulannya, kami berpuas hati dengan trip memancing Nanggalah ini dan berharap agar populasi Nanggalah sungai Klias dikekalkan. Semoga sungai ini terhindar dari perbuatan manusia-manusia zalim yang tidak berfikir dan tidak beragama yang telah melakukan kerosakkan dengan meracun sungai-sungai seperti sungai Bongawan dan sungai Membakut. Sungai Padas juga telah menjadi mangsa racun oleh manusia zalim ini. Sungai Weston juga tidak terkecuali. Malahan, sungai Nabahan bukan sahaja menjadi mangsa racun terapi siap diKARAN sekali. Tidak mustahil apabila doa mangsa makbul, pelaku akan diracun dan dikaran oleh alatnya sendiri. Karma bah kan?

Rabu, 7 Disember 2016

Sukses Kalis Gigi Tajam

Penggunaan assists hook kalis gigi tajam memang amat meyakinkan apabila jigging di dalam kelompok spesis pelagik ini. Boleh dikatakan aksi taruk makan taruk makan berlangsung dengan kejayaan mendaratkan ikan hampir 90%. 10 % lagi apabila hook up tidak kemas menyebabkan rabut ataupun tali perambut dan braided line disambar oleh pemangsa gigi tajam.

Titir saiz begini memiliki gigi setajam pisau cukur  dengan mudah memotong kevlar anda walaupun  sekuat 300-450 lb!
Memang ekonomik bro!..kebiasaannya, aku memang membawa sekurang-kurangnya 10 hingga 15 set assists kalis gigi tajam dalam tackle box setiap kali beraksi. Selalunya, berbaki 2 atau 3 sahaja yang dibawa pulang. Selebihnya diagih-agih kepada rakan untuk bertarung di arena dan dijadikan contoh untuk menghasilkan assists kalis gigi tajam sendiri.
 
Belasan ekor Tenggiri/Lumading berjaya ditewaskan dengan senjata Kalis Gigi Tajam. Ikan merah tu hasil bottom rakan bro.
Sebarkan dan kongsi ilmu yang bermanafaat agar semua pemancing boleh menikmati keseronokkan memancing yang sebenarnya.

Sabtu, 26 November 2016

EKSPERIMENTASI SENJATA KALIS GIGI TAJAM

Kehadiran gerombolan Tenggiri dan Alu-Alu ke takat-takat dan tunggang ini memang sering dinantikan oleh para pengunjun. Pemangsa bergigi tajam ini memang tidak ragu-ragu untuk mengejar dan membaham jig hanya beberapa kaki dari badan bot. Sifat agresif mereka memang amat mengujakan namun ada harga yang perlu dibayar iaitu assists hook dan jig anda. Tali kevlar sekuat 260 lb ibarat hanya sehelai rambut kepada pemangsa ini.  


Strike confirm kena bro!tidak risau lagi dengan gigi tajam.
Harga kevlar wire yang mahal di pasaran memang akan menyempitkan lagi belanjawan pengunjun. Mujurlah wire 49 strands boleh didapati di kedai-kedai pancing dengan harga RM 10 lebih sahaja. Pergi saja TCE tackle, pasti akan bertemu dengan wire 49 strands dengan harga yang sangat murah!


Anak Tenggiri aka Lumading tetap seekor Tenggiri yang mempunyai reputasi pemutus kevlar dengan gigi tajam

Ebek pun tidak berkira sangat dengan penggunaan kevlar wire 49 strands
Penggunaan tali kevlar yang diperkukuhkan dengan dawai 49 strand (kevlar wire core) digunakan sebagai insuran jika pemangsa bergigi tajam bermaharaja lela di pertengahan air. Kegagalan menyediakan kevlar wire ini ibarat berjuang di medan perang tanpa senjata. Gigi tajam pemangsa akan mudah memotong kevlar dan sering bolos bersama jig kesayangan anda. Ikan lepas, jig pun hilang!....dua kali malang bro....hehehehe    

Ngam ia ada di dasar, pasti akan membelasah jig yang di unjun perlahan. Hanya perlu bersabar dan berdoa

Panjang segulung pula 10 meter berbanding kevlar wire core berjenama yang hanya sepanjang 4 meter. Memang murah!! Wire lebih lembut dan senang diikat dengan matakail dan rambu. Hanya perlu sedikit ketelitian, kesabaran dan komited pasti akan menghasilkan assist hook yang kemas dan berdaya harap.
Gigi tajam Titir juga mampu memusnahkan hari ceria anda
Beruntungnya, para pemancing yang inovatif pasti sentiasa memikirkan cara untuk  menghasilkan alatan yang membantu menurunkan budget pancingan bulanan. Penciptaan semula dengan bahan yang jauh lebih murah patut dikongsikan bersama (Sila rujuk post KALIS GIGI TAJAM yang telah diterbitkan terdahulu).
Lumading amat banyak berkeliaran ketika suhu air agak panas dan permukaan laut agak kucah
Eksperimentasi kevlar wire 49 strands di Tunggang Papar telah berjaya menewaskan banyak pemangsa bergigi tajam. Kadar kes putus kevlar berjaya diturunkan ke angka sifar!. Nampak gaya, para pengeluar kevlar jika tidak mau tutup operasi, kasi laa jual dengan harga yang murah!..tak gitu bro?