Jumaat, 26 Julai 2019

KOLIBRASI teamlempayun dan Beaufort Aqua Rumble BAR

21/07/2019 (ahad): Seperti biasa, kami bersarapan terlebih dahulu di restoran Pulut panggang batton, Menumbok. Mengalas perut memang sangat penting kerana aksi jigging sepanjang hari pasti akan membakar ribuan kalori. Tambahan pula, perut tidak boleh dibiarkan kosong jika anda tidak mahu dicemari dengan aksi lembik. Malu ooooo..hehehe.
Seperti biasa, sessi bergambar sementara menantikan kehadiran tekong ceria kami Haji Nasir tiba. Keceriaan nampak terserlah dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh ahli komplot Beaufort Aqua Rumble
Trip jigging kali ini dilaksanakan bersama ahli kental Beaufort Aqua Rumble (BAR) setelah beberapa minggu sebelumnya tinjauan dilakukan oleh salah seorang ahlinya berkenaan bot dan potensi takat-takatnya. Laporan yang bagus mendorongnya terus menempah khidmat Haji Nasir untuk trip seterusnya. Paling sporting, saya dan Juan juga diajak bersama dalam trip seterusnya itu.pucuk dicita ulam mendatang.hehehe..terimakasih Masta Raflin
Peminat pertama Jig milik Fad sejurus bot tiba di lokasi.  Beliau yang lebih gemar  beraksi menggunakan 'overhead reel' ketika jigging memang berada dalam kelas tersendiri iaitu kategori jigger kental...jigging tanpa henti!
Keadaan cuaca yang bagus tanpa dicemari dengan tompokan awan hitam di kaki langit membungakan perasaan kami untuk segera tiba di lokasi. Walaupun tiupan angin yang bertukar arah kepada barat laut menyebabkan sedikit kucahan dipermukaan, perjalanan bot tetap lancar dan gagah membelah samudera. Beruntungnya, tiupan angin hanya berlaku di pinggiran sahaja dan apabila kami tiba di lokasi, keadaan permukaan laut menyambut mesra kehadiran kami

Rosy Jobfish yang berminat dengan jig Masta Chin ternyata tidak memberi laluan mudah kepadanya.
Pergerakan ikan ini secara berkumpulan sering menimbulkan suasana kacau bilau kepada para jigger. Saiz sebegini sudah cukup mengerah keringat jigger yang menggunakan set jigging ringan. Kalau kena bapaknya..bagaimana laaa agaknya ya?
Bot tidak berhenti untuk ‘warmed up’ walau seketika pun. Kami terus ke takat Vernon bahagian atas untuk memanafaatkan keadaan cuaca yang baik ini. Perjalanan hanya 22 hingga 24 knot sahaja kerana sesekali bot bertembung dangan alun yang agak kasar. Keadaan ini menyebabkan kami tiba sedikit terlewat di lokasi.
Sunoh 'table size' yang menceriakan suasana jigging masih banyak terdapat di takat-takat vernon.
Pergerakan bot mulai perlahan menghampiri takat dan melakukan sedikit kesesuaian untuk menyerasikan diri dengan pergerakan arus dan angin. Sebaik sahaja hon dibunyikan, jig pelbagai saiz dan warna berebut-rebut terjun ke dasar, menyelam dan menunggu untuk dibaham! 
Jackpot! Spesis ini memang sangat rakus merebut Jig.  Kalau kena  bapak Sunoh yang berebut jig, boleh tegang urat lengan menahan asakannya
Kami tidak menunggu terlalu lama apabila jig salah seorang jigger direnggut kasar dan padu. Ternyata takat-takat di sini memang berpenghuni. Satu demi satu spesis penghuni takat berjaya didaratkan. Suasana strike ini semakin merudum apabila air pasang penuh berlaku. Ketika itu, arus tidak bergerak dan pastinya akan mempengaruhi keaktifan ikan mengejar makanan.

Aksi menggerakkan dan memainkan jig betul-betul di atas permukaan takat sering mengundang kemarahan para Sunoh yang setia menjaga sarangnya.
Walaupun begitu, kepada yang degil, jig tetap diturunkan juga. Mana la tau kan..ada Sunoh yang putus cinta di dasar..ehehehe..Sebaiknya suasana begini acara yang paling sesuai adalah melahap bekalan makan tengahari dan sesekali menurunkan jig.
Masta Raflin dengan selambanya meniru mimik wajah tangkapannya..hehehehehe..
Menjelang tengahari ketika paras laut mulai surut, pergerakan ikan secara tiba-tiba aktif apabila satu demi satu jig yang diturunkan mulai bersambut. Angin juga mulai bertiup sedarhana membantu bot berhanyut di atas permukaan takat. Tiupan angin ini juga membantu melegakan kami dari suhu panas yang terik dan menyeksakan. Bot dibiarkan berhanyut sambil jig diturunkan dan sesekali kedengaran jeritan fish on di sana sini. Memang meriah bro!
Riwayat Sunoh yang berakhir di 'open table' keluarga. Hidangan untuk ikan ini di restoran seafood bisa membuntangkan biji mata ketika menjelaskan bil!
Saya tersentak apabila gerakan jig terhenti secara tiba-tiba dan terasa semakin berat. Setelah melakukan sedikit sentapan untuk mengukuhkan lagi tancapan dimulut ikan, ia terus melakukan larian menggila. Kekili menjerit nyaring manakala joran melentur semaksimanya. Sayangnya perlawanan tidak terlalu lama apabila tali kendur secara tiba-tiba!Larian ikan ke celah-celah karang menyebabkan perambut terputus apabila bergesel dengan batuan yang tajam. Memang tiada kerja ikan lain selain dari Sunoh bagak
Jimmy yang 'humble' memang sangat rajin strike dengan teknik jiggingnya.  Spesis demersal mahupun Pelagik amat mudah menyerah diri kepadanya...bikin panas orang sabelah sahaja.hehehe


Tone warna Kerapu bintik yang sangat cantik dan sedondon dengan pemiliknya.hehehe 
Rainbow runner juga terjerat dengan jig yang dimainkan oleh masta Raflin. Memang menjadi mandrem beliau!
Selambanya aksi setelah berjaya mendaratkan Sunoh ini..biasa sangat dah tangkap ikan ni bro...hehehe
Beberapa rakan lain juga mengalami nasib yang sama apabila serbuan Sunoh di dasar berakhir dengan kejadian sangkut dan putus. Namun hanyutan bot dalam takat yang luas ini tetap memberi peluang kepada strike seterusnya.Kerajinan memeriksa ‘kesihatan’ perambut fluorocarbon amat membantu anda daripada dikhianati oleh kecacatan perambut sendiri. Periksalah dengan rajin terutamanya selepas berjaya mendaratkan ikan. 
Green Jobfish aka Guntur mengambil giliran seterusnya untuk bertemu dengan Masta Raflin. Larian liar ikan ini memaksa masta Raflin melakukan tawaf di dalam bot

Apapun jenis perambut, berjenama ataupun tidak, mahal atau murah tetap tidak akan dapat bertahan dengan gasakkan ikan dalam keadaan fizikalnya yang calar balar dan mengalami koyakan. Oleh itu, anda tidak boleh berkompromi dengan perambut yang jelas mengalami kecederaan fizikal. Seperkara lagi, setiap kali trip jigging anda berakhir, janganlah ragu untuk membuang perambut yang telah digunakan.Tukar kepada perambut baru sebagai pelaburan anda.
Memang sukses dalam trip ini. Sunoh juga tidak ketinggalan meletakkan dirinya dalam senarai peminat jig Masta Raflin. 
Ikan yang meronta dan bergelut di dasar akan cuba sedaya upaya untuk memboloskan diri dengan apa sahaja cara pun. Tipikalnya, batuan karang menjadi pilihan hayat mereka untuk terus hidup. ‘Kesihatan’ tali sulam anda juga tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Walaupun ianya diisytiharkan amat kuat, namun kecederaan kepada sulamannya boleh berlaku juga apabila berlaga dengan batuan karang yang tajam dan bergerigi. Oleh itu, rajin-rajin lah buat ‘medical checked up’ untuk tidak menghampakan  anda jika berlaku strike mega!

Sesekali spesis Travely juga mencelah untuk mencukup rasakan keneriahan suasana jigging di bawah suhu yang amat panas ini

Ada kabar angin mengatakan masta Raflin tiba di jeti menumbok pagi tadi ada sedikit berbau kemenyan. Rakan sebelah juga mendakwa, mulutnya kumat kamit seolah membaca mentera sebelum menjatuhkan jig. Apapun, masta memang hanyir dalam trip ini. Terbaik!!
Tiupan angin semakin bertenaga menjelang petang namun ianya tidak menghalang kami untuk terus mengunjun jig. Ketika ini, penggunaan jig seberat 80 gram ke atas menjadi pilihan. Kedalaman yang tidak seberapa membantu jig cepat sampai ke dasar dan memberi peluang kepadanya untuk dimainkan dengan lebih lama. Selama mungkin ia berada di dalam air, peratus untuk strike juga semakin tinggi. Oleh itu, rajin-rajin lah menurunkan jig.
Merah menyala disinari cahaya terik
Sesekali gaya unjunan dan kelajuan  jig juga perlu divariasikan. Ianya bertujuan untuk meningkatkan lagi peluang jig anda disambar pelbagai jenis ikan. Walaupun, ekstra tenaga terpaksa dikorbankan, namun ia tetap berbaloi untuk trip jigging seharian. Metode yang agresif ini sentiasa menjadi tarikan kepada para penggemar teknik jigging dalam dunia memancing ini. Jelasnya, kaedah ini lebih kepada aktiviti sukan memancing yang jauh berbezanya dengan pancingan dasar menggunakan umpan. Penggunaan tenaga yang ekstrem dan keseronokkan atau kepuasan yang dirasai apabila jig disambar pemangsa memang amat luarbiasa!
Satu lagi spesis Kerapu yang menjadi koleksi para penggemarnya
Kira-kira jam 4:00 pm, Haji memberi isyarat sessi jiggging berada dalam masa-masa kecederaan. Kesannya, kami menggiatkan lagi usaha jigging dengan harapan akan berlaku jaringan minit-minit akhir. Kebiasannya, nasib akan mudah berpihak kepada pengunjun yang rajin menurunkan jig. Untuk itu, beberapa strike berlaku lagi seolah-olah tidak membenarkan kami pulang.hehehehe..Tepat jam 4:30 pm, kedua-dua enjin kerkuasa kuda 115 dihidupkan dan mula bergerak pulang menuju pangkalan. Kami teamlempayun mengucapkan ribuan terimakasih kepada Beaufort Aqua Rumble atas jemputan dan layanan mesra dalam trip ini. Memang kamu orang terbaik! Tahniah kepada Beaufort Aqua Rumble.

Sebahagian hasil tuaian dalam trip ini



4 ulasan:

  1. Terbaik cgu.....jalan cerita yg menarik..tahniah

    BalasPadam
  2. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Hương Lâm chuyên cung cấp máy photocopy, chúng tôi cung cấp máy photocopy ricoh, toshiba, canon, sharp, đặc biệt chúng tôi có cung cấp máy photocopy màu uy tín, giá rẻ nhất.

    BalasPadam