Rabu, 4 April 2018

OUTSKIRTS OF VERNON BANK:Opening trip edition

Kami memang mendambakan perkhidmatan bot pancing haji Nasir untuk aktiviti jigging sepenuhnya sejak tahun lepas lagi. Namun, trip ini terpaksa ditangguh beberapa kali disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Angin kencang dan laut bergelora telah membantutkan seketika perancangan kami. Berkat keazaman dan kegigihan Kapten Jazz mengatur trip, trip jigging yang diketuainya berjaya direalisasikan pada 30/03/2018. Kami amat teruja menanti ketibaan hari tersebut.
Salah satu aset penting dalam trip berpangkalan di Menumbok ini adalah kedai makan. Anda boleh bersarapan untuk mengalas perut sambil membeli bekal untuk makan tengahari. Tidak payah bawa bekal makanan dari rumah bro. Paling best, minuman percuma juga disediakan oleh haji Nasir untuk setiap pemancing
Aku, Hamzah aka Bigshow dan Salleh meninggalkan rumah seawal jam 5:20 am dengan menaiki sebuah kereta. Perjalanan ke selatan pantai Barat lebih lancar berbanding ke utara seperti selalunya. Sebelum jam 7 pagi, kami telah bersarapan di sebuah restoran berdekatan sementara menantikan kehadiran bot haji Nasir yang akan mengambil kami di jeti Menumbok.

Bot ini amat selesa untuk 8 orang jigger. Kemudahan tandas yang disediakannya adalah satu kelebihan berbanding bot-bot pancing yang lain. Haji Nasir amat mementingkan kebersihan bot dan kepuasan pelanggannya. Beliau juga amat peramah dan tidak lokek dengan tips jigging di sekitar takat-takat ini. Seperkara lagi, beliau juga bertindak pantas menyediakan penyauk untuk menaikkan ikan. Paling best adalah, beliau hanya menjadi pemerhati para jigger beraksi dan tidak menganggu aksi mereka. Memang top servis!
Sejurus Haji Nasir memaklumkan ketibaannya di jeti, kami bergegas bergerak ke jeti dengan peralatan masing-masing. Bot sepanjang 37 kaki dengan kelebaran 8 kaki ini berpangkalan di Wilayah Persekutuan Labuan. Hasil rundingan yang berjaya di antara kapten Jazz dan Haji Nasir, bot ini bersedia mengambil kami di Menumbok dengan sedikit bayaran tambahan. Oleh itu, kami tidak payah bermalam di Labuan dan dapat menjimatkan kos untuk penginapan.
Strike pembukaan kapten Jazz yang telah menaikkan semangat para jiggers lain untuk merancakkan aksi jigging masing-masing
Keadaan cuaca yang amat cantik dengan lautnya yang teduh mula mengocak darah jigging kami. Berdasarkan data yang dipaparkan di apps saya, kekuatan angin hanya bergerak sekitar 12 kmph dengan ketinggian ombak sektar 0.5 meter- 1 meter.  Cuaca yang memang nyaman dan mendamaikan menjadi kegilaan hampir semua jigger. Bot haji Nasir yang dijana oleh dua buah enjin Yamaha 115 hp memecut cantik dengan kelajuan 40-50 km/h menjadikan pinggiran Vernon bank sebagai padang tempur kami.
Bigshow memang benar-benar hanyir dalam trip ini. Gt ini terpedaya dengan unjunan jig miliknya pada kedalaman laut 32 meter.
Perjalanan hampir satu jam 30 minit amat lancar dan takat Buranih menjadi spot persinggahan pertama kami. Kami mengaplikasikan teknik jigging berhanyut tanpa sebarang strike setelah hampir 20 minit jenuh memainkan jig. Kerajinan menukar jig dan mempelbagaikan gaya unjunan juga tidak membuahkan sebarang hasil. Tanpa berlengah, haji Nasir segera mengajak berpindah menuju ke lokasi sebenar.
Strike of the day. Kerapu Sunoh seberat 5.2 kg benar-benar menghanyirkan Bigshow dalam trip ini. 
Kedalaman takat di antara 30 meter hingga 45 meter membenarkan kami menggunakan jig seberat 40 hinge 60 gram. Tidak menunggu lama, kapten Jazz mendapat strike padu yang melarikan jig miliknya tanpa henti. Sambaran di pertengahan air menjadi 'signature' kepada spesis pelagik yang banyak bermaharaja lela di takat ini iaitu Tenggiri. Ketenangan dan kemahiran kapten Jazz mengendalikan set jigging ringannya dan kebijakkannya menangani larian ikan, akhinya seekor Tenggiri berjaya tewas ditangannya.
Saiz Aya/skipjack yang banyak berkeliaran di radius takat ini. sayangnya, laut yang agak teduh tidak merangsang mereka untuk frenzy
Kami kekal berhanyut dalam spot yang sama hampir sejam berikutnya. Dalam tempo tersebut, hampir semua jigger menerima strike padu. Sayangnya, banyak sambaran yang rabut, tersasar dan memutuskan perambut.Pemangsa yang berjaya melepaskan diri telah memberi isyarat kepada pemangsa lain akan ancaman dari permukaan laut. Akibatnya, jig yang diturunkan selepas itu langsung tidak diendahkan dan menyebabkan kami segera berpindah.
Seekor lagi GT meneyerahkan diri kepada Bigshow. Restu dari isterinya benar-benar memberi impak yang sungguh besar dalam aksi jiggingnya dalam trip itu.
Kawasan takat yang luas ini membenarkan kami bepindah masih dalam radius yang sama. Ke mana sahaja bot berhenti, ia masih lagi berada dalam rangkaian takat-takat yang luas. Oleh itu, tiupan ångin amat diperlukan untuk menghanyutkan bot. Teknik jigging berhanyut ini amat berkesan di kawasan bertakat luas. Pergerakkan bot secara perlahan ini membantu meluaskan zon jigging kami. Sayangnya, keadaan air surut ketika itu menyebabkan angin berhenti bertiup. Oleh itu, bot hanya bergerak mengikut arus yang lemah. Akibatnya, para pemangsa langsung tidak memberikan respon.
Kapten Jazz juga amat hanyir dalam trip sulung ini. Beliau berjaya mendaratkan pelbagai jenis spesis pemangsa
Sessi jigging selepas petang agak bertenaga selepas menjamah hidangan tengahari. Angin juga mulai bertiup dan menggerakan bot secara sekata. Aksi jigging bertambah rancak apabila strike padu silih berganti sesama jigger. Strike mega oleh Nazri menyebabkan kekilinya seolah-olah kehilangan sistem drag yang mengakibatkan gelendungnya kehilangan hampir semua tali sulam. Tarikan mega yang menyebabkannya hanya mampu bertahan akhirnya berakhir dengan tali yang putus. Kejadian ini menaikan lagi semangat para jigger untuk merancakkan aksi unjunan masing-masing. Hasilnya, pelbagai spesis ikan berjaya dijerat dan didaratkan  ke dalam perut bot.
Juga strike of the day. Lausu/Landok/Emperor adalah strike 'rare' sekaligus menjadi trofi kapten Jazz.
Haji Nasir mula menghidupkan enjin bot dan berpindah beberapa kali sebelum kami mengakhiri trip ini pada pukul 4:15 pm. Terasa cepat pula masa berlalu. Rasanya, kami mampu jigging 3 hari 3 malam tanpa henti di takat yang amat luas ini..hehehe. Apakan daya, trip terpaksa ditamatkan juga. Perjalanan pulang yang mengambil masa 1 jam 40 minit menyeru kami untuk mengatur lagi trip menggunakan bot yang sama. Sebagai kesimpulan, masih banyak lagi lokasi yang belum diterokai oleh para jiggers di sekitar Vernon Bank dan Semarang. Lokasi ini menjadi destinasi baru saya untuk eksplorasi jigging di masa hadapan. Nasib baiklah kapal-kapal tunda yang beroperasi tidak berani melakukan tundaan dalam kawasan Vernon Bank kerana karang-karang yang padat melindungi dan menjadi ancaman kepada pukat tunda mereka. Trip pembukaan ini telah membuka lembaran baru kepada dunia jigging Lempayun dan rakan-rakan. Syabas! Nantikan Vernon jigging vaganza dalam edisi kedua akan datang.salam ikhlas dari Lempayun.